15 anugerah MIHAS Awards 2026, pacu kecemerlangan industri halal

LocalBusiness & Finance
16 Sep 2026 • 9:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

15 anugerah MIHAS Awards 2026, pacu kecemerlangan industri halal

SHAH ALAM, 16 SEPT: Sebanyak 15 anugerah bakal dipertandingkan menerusi MIHAS Awards 2026 bagi mengiktiraf kecemerlangan, inovasi dan amalan kelestarian pemain industri halal di peringkat global.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata anugerah berkenaan terus memainkan peranan dalam meningkatkan standard industri selain mengiktiraf syarikat berdaya fikir ke hadapan yang membentuk masa depan perdagangan halal.

“MIHAS Awards telah menjadi simbol kecemerlangan dalam industri halal global, mengiktiraf perniagaan yang terus meningkatkan standard menerusi inovasi, daya tahan dan pertumbuhan mampan.

“Anugerah tahun ini memberi penekanan lebih besar kepada perniagaan yang bersedia menghadapi masa depan melalui transformasi digital, kelestarian dan teknologi baharu bagi menghasilkan nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Penganjuran MATRADE itu terbuka kepada semua pempamer Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 dari Malaysia dan antarabangsa, merangkumi tiga kategori utama iaitu MIHAS Excellence Awards, MIHAS Innovation, Sustainability & Digitalisation Awards serta WiEX @ MIHAS (Anugerah Wira Ekonomi Wanita).

Manakala MIHAS Excellence Awards merangkumi kategori Kecemerlangan Produk, Kecemerlangan Perkhidmatan dan Emerging Star sementara MIHAS Innovation, Sustainability & Digitalisation Awards mengiktiraf penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), rantaian blok dan penyelesaian digital.

WiEX @ MIHAS pula memberi tumpuan kepada perniagaan diterajui wanita menerusi kategori Produk, Perkhidmatan serta Inovasi, Kelestarian dan Digitalisasi.

Bagi syarikat Malaysia, penyertaan tertakluk kepada syarat berdaftar sebagai ahli MATRADE serta memenuhi kriteria purata jualan tahunan melebihi RM500,000 bagi kategori produk dan RM250,000 bagi kategori perkhidmatan.

Syarikat yang menyertai MIHAS Excellence Awards perlu pernah menyertai MIHAS sekurang-kurangnya tiga kali manakala calon Emerging Star perlu mempunyai sekurang-kurangnya sekali. Pemohon Anugerah WiEX pula mestilah pempamer di WiEX Pavilion.

Proses penilaian merangkumi pra-penilaian pada akhir Ogos dan sesi pembentangan di hadapan panel hakim bebas pada awal September dengan pemenang diumumkan pada Majlis MIHAS Awards 2026, 26 September ini.

Selain pengiktirafan industri, pemenang turut menerima manfaat promosi dan penjenamaan seperti liputan di Portal MATRADE Success Stories, penyenaraian percuma setahun dalam Malaysian Brand Directory, peluang temu bual media serta diskaun 15 peratus sewaan ruang pameran MIHAS akan datang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved