johardy15/09/2026 - 15:03 PUTRAJAYA 15 Sept - Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sedang meneroka peluang pelaburan dalam sektor kenderaan elektrik (EV) dan automotif sebagai sebahagian usaha mempelbagaikan pelaburan melangkaui asas kukuh sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, pihaknya masih belum menentukan bahagian khusus daripada sasaran pelaburan kumulatif RM470 bilion menjelang 2030 yang boleh disumbangkan sektor automotif, namun beberapa pelaburan berpotensi sedang dinilai.
“Antaranya ialah projek kenderaan berteknologi tinggi di Kulim, Kedah, dengan bakal pelabur dalam sektor EV kini menjalani proses usaha wajar,” katanya.
Beliau berkata, NCER turut bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menilai potensi pelaburan berkenaan.
Mohamad Haris berkata, setakat ini dua pelabur dikenal pasti dalam segmen bateri EV, manakala tiga lagi sedang dipertimbangkan dalam segmen automobil.
Langkah itu dibuat ketika aktiviti E&E dan semikonduktor terus menjadi tunjang utama pelaburan di NCER, khususnya di Pulau Pinang yang menyaksikan kira-kira 95% pelaburan dijangka tertumpu dalam sektor berkenaan.
RM470 bilion pelaburan menjelang 2030
Terdahulu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir melancarkan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 yang menyasarkan pelaburan kumulatif RM470 bilion menjelang 2030, dengan 70% daripadanya disumbangkan sektor utama seperti E&E, automotif, pelancongan bernilai tinggi dan pertanian moden.
Sasaran itu adalah RM126.2 bilion lebih tinggi berbanding RM343.8 bilion di bawah pelan pembangunan NCER sebelumnya.
Mohamad Haris berkata, tumpuan terhadap E&E dan semikonduktor tidak bermakna peluang dalam sektor lain diketepikan, dengan usaha turut dilaksanakan untuk memperluaskan pertumbuhan melangkaui pusat pelaburan sedia ada.
Di Kedah, katanya, Kulim Hi-Tech Park kekal antara kawasan utama bagi pelaburan, manakala Perlis mempunyai Chuping Valley, dengan aktiviti semikonduktor terus menjadi tarikan utama.
Usaha mempelbagaikan pelaburan itu juga bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi sampai ke kawasan yang kurang membangun di empat negeri NCER iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Beliau berkata, program dan projek akan dilaksanakan di kawasan berkenaan bagi mewujudkan peluang pekerjaan, termasuk memastikan kawasan yang dibangunkan menggunakan peruntukan Kementerian Ekonomi diisi dengan pelaburan yang telah diluluskan.
45% pekerjaan disasar berkemahiran tinggi
“Kami yakin dapat merealisasikan sasaran pelaburan kumulatif RM470 bilion menjelang 2030 berdasarkan pelaburan yang telah diluluskan dan dijangka diterjemahkan kepada projek sebenar dalam tempoh dua hingga tiga tahun, atau sehingga lima tahun dalam sesetengah kes.
“Sasaran ini lebih tinggi berbanding pelan sebelumnya tetapi unjuran itu disokong oleh trend pelaburan, manakala sasaran kami bagi 2020 dan 2025 telah berjaya dilepasi,” katanya.
Menurut beliau, sasaran pelaburan itu juga dijangka menyumbang kepada matlamat NCER meningkatkan pendapatan median isi rumah kepada RM7,500 menjelang 2030.
Mohamad Haris berkata, pendekatan NCER bukan sekadar meningkatkan jumlah pekerjaan, malah memberi tumpuan untuk menarik industri bernilai lebih tinggi yang mampu meningkatkan produktiviti dan aktiviti nilai tambah.
Kira-kira 45% daripada pekerjaan yang disasarkan dijangka merupakan jawatan berkemahiran tinggi.
Bagi memenuhi permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran, NCER bekerjasama dengan universiti tempatan, politeknik, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemain industri untuk mengenal pasti bidang dan kemahiran khusus yang diperlukan pelabur. - BERNAMA






