amree15/09/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Sept — Frontken Corporation Berhad menerusi anak syarikatnya, Ares Green Technology Corporation (AGTC) membeli tanah industri bersama bangunan kilang sedia ada di Tainan, Taiwan pada harga RM118.16 juta.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, hartanah itu diperoleh pada 15 September 2026 melalui tender awam dengan tawaran NTD920 juta (kira-kira RM118.16 juta), berbanding harga rizab NTD820 juta (RM105.32 juta).
Jelasnya, hartanah dibeli berkenaan mempunyai keluasan tanah kira-kira 16,172 meter persegi, merangkumi tujuh blok bangunan kilang yang sedia ada dengan jumlah keluasan lantai mencecah12,611 meter persegi.
"Ia terletak di Zon Perindustrian Xinying, kira-kira 950 meter dari kemudahan P1 milik AGTC, sekali gus memberi kelebihan strategik dari segi pengembangan operasi berdekatan fasiliti sedia ada," tambah Frontken.
Hartanah itu turut dilengkapi sistem solar fotovolta berkapasiti 1,245.92 kWp dan diklasifikasikan sebagai Tanah Industri Jenis B, dengan nisbah liputan bangunan 70% serta nisbah keluasan lantai 210%.
Ujar Frontken, pengambilalihan itu sejajar strategi jangka panjang untuk menyokong pengembangan operasi AGTC dan memenuhi keperluan kapasiti masa depan, termasuk menyediakan ruang barisan pengeluaran baharu.

Pembelian dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman AGTC, dengan deposit awal NTD82 juta (RM10.53 juta) dibayar selepas kejayaan bidaan, manakala baki NTD838 juta (RM107.63 juta) dijelaskan dalam tiga ansuran.
"Pengambilalihan itu tidak melibatkan sebarang liabiliti luar jangka atau jaminan kewangan perlu ditanggung Frontken atau AGTC, selain tiada kesan material terhadap modal saham dan pegangan pemegang saham utama," katanya.
Frontken juga menjangkakan transaksi tersebut tidak memberi kesan material terhadap aset bersih (NA), NA sesaham, penggearan, keuntungan dan pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Bagaimanapun, dalam tempoh panjang, pengambilalihan itu dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan dan EPS kumpulan, tertakluk kepada keadaan pasaran serta kejayaan pemasangan dan permulaan operasi barisan pengeluaran tambahan.
Pengambilalihan itu penting memandangkan ketersediaan tanah industri yang sesuai berhampiran kemudahan P1 adalah terhad, sekali gus memberi AGTC fleksibiliti lebih besar untuk merancang keperluan operasi dan menyokong pertumbuhan perniagaan pada masa depan. - DagangNews.com




