
PETALING JAYA – Kerajaan menambah RM1 bilion kemudahan pembiayaan mikro kepada peniaga kecil menjadikan keseluruhan dana bagi tahun 2026 sebanyak RM6 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini sebanyak RM5 bilion telah diperuntukkan bagi kemudahan pembiayaan tersebut.
Katanya, tambahan dana itu dibuat bagi membantu golongan perniagaan kecil yang berdepan tekanan kos dan memerlukan sokongan untuk mengembangkan perniagaan.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan Geran Sejahtera Madani berjumlah RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta golongan ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah.
“Masih ada keluhan di kalangan peniaga-peniaga kecil, pengusaha-pengusaha kecil, ibu-ibu di rumah yang bekerja dari rumah dan pasar-pasar malam.
“Semua ini dilaksanakan berkuat kuasa 1 September 2026. Inilah dengan semangat perpaduan kita,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Dana mikro PMKS naik kepada RM6 bilion appeared first on Kosmo Digital.






