PELABUHAN KLANG - Sebanyak 15 kontena sisa elektronik (e-waste) diarahkan keluar dari negara menerusi tindakan penguatkuasaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam Ops Green Shield.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, daripada jumlah itu, 14 kontena telah dibawa keluar pada jam 8 pagi, Selasa manakala satu lagi dijadualkan pada Rabu ini.
Menurutnya, tindakan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi pelupusan haram sisa elektronik.
"Sepanjang pelaksanaan Op Green Shield 1 hingga Op Green Shield 21, sebanyak 254 kontena yang disahkan e-waste telah ditahan oleh AKPS bersama Pasukan Petugas Khas (Joint Task Force).
"Secara keseluruhan, sebanyak 803 kontena e-waste telah diambil tindakan penguatkuasaan untuk dibawa keluar dari negara selaras dengan peruntukan undang-undang berkuat kuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pelabuhan Utara di sini pada Selasa.
Beliau berkata, operasi tersebut dilaksanakan secara bersepadu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk JKDM, Jabatan Alam Sekitar, SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang.
Katanya, setiap kontena yang disyaki akan melalui proses verifikasi yang ketat sebelum tindakan lanjut diambil.
"Langkah ini mencerminkan komitmen dan ketegasan pihak berkuasa dalam membanteras kemasukan e-waste secara haram ke dalam negara.
"Ia juga selari dengan usaha memperkukuh pelaksanaan tindakan penguatkuasaan secara efektif serta memastikan pematuhan kepada undang-undang dan konvensyen antarabangsa,” katanya.
Nik Ezanee berkata, pihaknya akan terus memperhebat pemeriksaan terhadap kontena dagangan yang disyaki membawa bahan terlarang itu.
Menurutnya, tindakan tersebut selaras dengan pelaksanaan larangan mutlak import e-waste yang berkuat kuasa mulai 1 April lalu melalui pewartaan Perintah Kastam (Pindaan) (No. 3) 2026 [P.U.(A) 151/2026].
"AKPS akan terus memperkukuh kawalan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya.


