Op Green Shield ke-21: AKPS rampas 251 tan e-waste di Pelabuhan Klang

LocalEnvironment
9 Apr 2026 • 5:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebanyak 11 kontena diperiksa dengan sembilan daripadanya mengandungi sisa elektronik kategori SW110 seberat 227,450 kilogram.

KLANG - Sebanyak 10 kontena mengandungi sisa elektronik (e-waste) dan bahan buangan terjadual dengan jumlah berat lebih 251,000 kilogram dikesan dalam operasi bersepadu Op Green Shield ke-21 di Pelabuhan Klang di sini pada Rabu.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang.

"Seramai 15 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam pemeriksaan yang dijalankan ke atas beberapa kontena bermula jam 9.30 pagi hingga 1 tengah hari," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Nik Ezanee berkata, sebanyak 11 kontena diperiksa dengan sembilan daripadanya mengandungi sisa elektronik kategori SW110 seberat 227,450 kilogram.

“Selain itu, satu kontena mengandungi bahan buangan terjadual kategori SW102 dengan berat 24,000 kilogram, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 251,450 kilogram,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi kontena yang mengandungi besi buruk (metal scrap) pula telah diserahkan kepada pihak SIRIM untuk tindakan lanjut.

"Siasatan turut mendapati dua syarikat tempatan dipercayai membuat pengisytiharan palsu (false declaration) menerusi borang K1 berkaitan dagangan berkenaan.

"Susulan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil dan kes diserahkan kepada pihak Kastam untuk siasatan lanjut," katanya.

Nik Ezanee berkata, AKPS akan terus mempergiat pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa elektronik terlarang selaras dengan pelaksanaan larangan mutlak import e-waste yang berkuat kuasa mulai 1 April lalu.

"Larangan tersebut dilaksanakan menerusi pewartaan Perintah Kastam (Pindaan) (No. 3) 2026 [P.U.(A) 151/2026] yang diletakkan di bawah Jadual Pertama perintah berkenaan," katanya.

Tegasnya, AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan serta kepentingan negara sentiasa terpelihara.