Ayam, itik beku bernilai RM1.06 juta dirampas: Dokumen, sijil halal diragui

LocalFood
14 Apr 2026 • 1:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ayam, itik beku bernilai RM1.06 juta dirampas: Dokumen, sijil halal diragui
Nik Ezanee menunjukkan antara daging sejuk beku yang dirampas.

 

PELABUHAN KLANG – Cubaan membawa masuk tujuh kontena mengandungi ayam dan itik sejuk beku bernilai lebih RM1 juta menggunakan dokumen meragukan terbongkar selepas dirampas menerusi pemeriksaan di Pelabuhan Klang Utara, di sini, Khamis lalu.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan fizikal ke atas kontena terbabit pada 9 April lalu di Tapak Pemeriksaan Kontena.

Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan susulan maklumat awam yang diterima pihaknya sebelum kontena itu tiba di pelabuhan sekitar Mac lalu.

"Pemeriksaan mendapati sebanyak tujuh kontena terlibat, iaitu enam mengandungi ayam sejuk beku dan satu lagi itik sejuk beku.

"Jumlah keseluruhan berat sitaan adalah sebanyak 187,800 kilogram dengan anggaran nilai RM1,062,048,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pelabuhan Utara pada Selasa.

Beliau berkata, hasil semakan lanjut mendapati terdapat cubaan pemalsuan dokumen bagi melindungi kemasukan dagangan tersebut ke dalam negara.

"Antara ketidakpadanan yang dikesan ialah invois dan senarai pembungkusan yang tidak selaras dengan maklumat dalam notis ketibaan (Notice of Arrival), selain nombor siri yang tidak sepadan.

"Sijil halal yang dikemukakan juga diragui ketulenannya walaupun menyerupai sijil dikeluarkan pihak berkuasa, manakala sijil kesihatan turut disyaki tidak sah,” katanya.

Tambah beliau, siasatan turut mendapati wujud percanggahan negara asal dagangan apabila dokumen menyatakan ia datang dari sebuah negara, namun pemeriksaan fizikal menunjukkan sebaliknya.

Katanya, keadaan itu menimbulkan risiko kepada keselamatan makanan dan kesihatan awam, termasuk kemungkinan membawa penyakit haiwan seperti avian influenza dan Newcastle disease.

Sehubungan itu, katanya, kesemua kontena terbabit telah disita bagi mengelakkan kemasukan produk berisiko ke dalam pasaran tempatan.

"Kes ini akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk siasatan lanjut serta tindakan susulan termasuk pelupusan atau kompaun mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya turut menahan satu lagi kontena mengandungi daging khinzir sejuk beku dari Australia pada hari sebelumnya.

"Kontena itu dianggarkan bernilai RM204,000 dengan berat 25,000 kilogram, namun ditahan kerana tidak mempunyai permit MAQIS yang sah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan penglibatan sindiket tempatan dalam kegiatan pemalsuan dokumen import tersebut.

"Kita telah mengenal pasti beberapa ejen yang dipercayai terlibat dan pemantauan serta siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap pengimport tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau penyelewengan dagangan.

Katanya, AKPS akan terus memperketat kawalan di pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan negara terus terpelihara.