15 Maut, Bas Dinaiki Penuntut UPSI Terbabit Nahas

9 Jun 2025 • 9:23 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya 15 maut apabila bas dinaiki penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terbabit dalam nahas di Jalan Jeli - Grik berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.

Menurut laporan, tujuh lagi penuntut disahkan parah dalam nahas tersebut. 

Getaran difahamkan 13 mangsa maut di lokasi, manakala dua lagi menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Grik.

Sumber memberitahu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) terpaksa menggunakan peralatan khas bagi memotong bahagian belakang bas persiaran dan Perodua Alza yang terbabit nahas itu, untuk mengeluarkan mangsa. 

image is not available
Perodua Alza yang terpaksa dipotong untuk mengeluarkan mangsa - Gambar Facebook

Tindakan tersebut berjaya mengeluarkan empat mayat dan dua mangsa yang parah, sebelum kesemuanya diserahkan kepada polis serta pasukan perubatan untuk tindakan lanjut. 

“Bas persiaran berkenaan disewa khas bagi membawa penuntut UPSI dari Kelntan dan Terengganu yang pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha. 

“Kenderaan itu sedang dalam perjalanan pulang ke UPSI apabila nahas terbabit berlaku,” katanya ketika dihubungi. 

image is not available
Keadaan bas yang terbalik dalam nahas - Gambar Facebook

Jelas beliau, operasi menyelamat disertai 17 anggota JBPM dari Gerik dan Jeli.

“Turut terlibat ialah pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya. 

Sementara itu, tujuh mangsa dilaporkan masih berada di Zon Merah, manakala 20 dan 16 mangsa lagi masing-masing ditempatkan di Zon Kuning serta Zon Hijau Hospital Gerik. - Getaran, 9 Jun 2025