
Kota Kinabalu: Seramai 15 wanita Sabah berpeluang melanjutkan pengajian pascasiswazah menerusi kerjasama strategik antara Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) dan North Borneo University (NBU).
Inisiatif itu membolehkan peserta terpilih daripada kluster Kepimpinan, Ekonomi dan Pendidikan program Global Leadership for Outstanding Women (Glow) mengikuti pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Timbalan Pengerusi MPWS Datuk Fauziah Abu Bakar Titingan yang mewakili Pengerusi MPWS Datuk Dr Rosmawati Lasuki berkata inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh keupayaan akademik dan profesional wanita berpotensi tinggi dalam kepimpinan.
“Kerjasama berimpak tinggi ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan akademik dan profesional peserta program Global Leadership for Outstanding Women (Glow),” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke NBU.
Fauziah berkata inisiatif pendidikan tinggi itu direka khusus untuk peserta Glow terpilih sebagai sebahagian daripada pelan pemerkasaan berfasa yang dilancarkan tahun lalu.
Katanya semua calon melalui proses saringan ketat serta bimbingan kepimpinan secara menyeluruh sebelum dipilih.
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kelayakan akademik dan kompetensi profesional sekali gus melahirkan generasi baharu pemimpin wanita di Sabah,” katanya.
Delegasi itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MPWS Profesor Dr Ts Imbarine Bujang dan Pengarah Jhewa Haslina Ismail.
Mereka disambut pengurusan tertinggi NBU yang diketuai Naib Presiden I merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Profesor Madya Doretty R Jiroh.
Fauziah berkata hasil perbincangan itu menyaksikan NBU mengesahkan kesediaannya menawarkan program MBA yang disesuaikan dengan keperluan peserta menerusi kaedah pembelajaran secara campuran (blended learning) termasuk laluan Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) serta akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Beliau yakin kerjasama itu akan menyumbang kepada pembangunan modal insan wanita serta memberikan manfaat sosioekonomi jangka panjang kepada Sabah.
“Kerjasama strategik antara MPWS, Jhewa dan institusi pengajian tinggi seperti NBU ini bertujuan melahirkan pemimpin wanita yang berpendidikan tinggi, berdaya saing dan berpandangan jauh.
“Selain membantu mengekalkan kemajuan kerjaya individu, ia juga akan mendorong kemajuan sosial dan ekonomi yang signifikan dalam kalangan komuniti wanita di Sabah,” katanya.


