
KOTA MARUDU: Majlis Wanita KDCA Kota Marudu memperkukuh usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya etnik Kimaragang menerusi kerjasama strategik dengan Persatuan Kimaragang Sabah.
Ia termasuk mendokumentasikan penemuan sepasang busana lama Kinaling Kimaragang yang mempunyai nilai sejarah tinggi.
Usaha itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Majlis Wanita KDCA Kota Marudu kepada Presiden Persatuan Kimaragang Sabah Datuk Seri Dr Ruddy Awah yang turut menjadi platform membentangkan hasil dokumentasi penemuan busana tradisional berkenaan.
Busana lama Kinaling Kimaragang itu ditemui di daerah Kota Marudu, khususnya di kawasan Tandek dan berpotensi menjadi bahan rujukan penting dalam mengenal pasti ciri-ciri asal busana tradisional Kimaragang yang diwarisi generasi terdahulu.
Pengerusi Majlis Wanita KDCA Kota Marudu Lasni Elui berkata usaha itu bukan sekadar memperkenalkan penemuan berkenaan, malah membuka ruang kerjasama dengan Persatuan Kimaragang Sabah bagi memastikan penyelidikan, dokumentasi dan pemuliharaan warisan budaya dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berterusan.
“Pelbagai pandangan turut dikongsikan dalam sesi perbincangan itu mengenai kepentingan memelihara keaslian identiti budaya Kimaragang, termasuk aspek busana tradisional, sejarah lisan dan bahan warisan yang masih disimpan oleh masyarakat.
“Kedua-dua pihak turut membincangkan peranan serta inisiatif Majlis Wanita KDCA Kota Marudu selain meneroka peluang kerjasama dalam melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Majlis Wanita KDCA Kota Marudu menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memperkukuh dokumentasi budaya sekali gus memastikan warisan Kimaragang terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Kunjungan hormat itu diakhiri dengan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan dan simbol komitmen bersama dalam memperkasa usaha memelihara serta memartabatkan warisan budaya etnik Kimaragang.


