154 syarikat mendaftar pada hari pertama pendaftaran subsidi RON95

LocalBusiness & Finance
19 Sep 2025 • 4:25 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PAPAR: Pendaftaran subsidi RON95 yang dibuka pada 15 September lalu susulan pelaksanaan penyasaran RON95 yang bakal dilaksanakan Kerajaan menyaksikan sebanyak 154 syarikat telah membuat pendaftaran di Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata pendaftaran itu melibatkan sebanyak 335 kenderaan di bawah dua kategori ditetapkan SKPS.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 70 syarikat mendaftar di bawah kluster Pengangkutan Awam Darat melibatkan 240 buah kenderaan dan 84 syarikat di bawah kluster Pengangkutan Darat Barangan dengan 95 buah kenderaan.

“Semuanya mendapat kelulusan serta merta selepas menyediakan dokumen lengkap dan kini mereka hanya perlu masuk peringkat kedua iaitu memohon ‘fleet card’ daripada syarikat-syarikat minyak pilihan mereka.

“Hanya tiga syarikat saja boleh dipilih untuk mendapatkan ‘Fleet Card’ ini, walaupun semua syarikat minyak telah pun mengesahkan komitmen mereka untuk mengeluarkan kad itu kepada pemohon dengan segera.

“Kelancaran urusan ini berdasarkan pengalaman kita semasa melaksanakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) tahun lalu (di Semenanjung saja),” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Lok Kawi Heights, di sini, baru-baru ini.

Armizan berkata KPDN menyasarkan sebanyak 100,000 kenderaan seluruh negara didaftar di bawah SKPS yang telah diintegrasikan dengan sistem data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sehubungan itu katanya, pihaknya berharap jumlah pendaftaran kenderaan itu terus meningkat di hari seterusnya bagi memastikan semua syarikat layak mendapat subsidi selepas penyasaran RON95 itu dilaksanakan kerajaan.

“Walaupun tiada tarikh tutup untuk pendaftaran SKPS ini, namun nasihat saya kepada semua syarikat supaya segera mendaftar kerana semuanya di atas talian, elakkan bertindak di saat akhir.

“Ia perlu bagi memastikan mereka boleh guna terus atau segera dapat manfaat sebaik saja pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 bermula.

“Jika selepas dimulakan baru mendaftar, kemungkinan mereka akan rugi kerana terpaksa membeli RON95 dengan harga pasaran yang jauh lebih mahal sebelum permohonan mereka SKPS diluluskan,” tegasnya.

Justeru katanya, semua syarikat terlibat harus memanfaatkan peluang disediakan kerajaan ini kerana kemudahan ini juga dapat mengurangkan impak kepada rakyat yang juga pengguna.