
MARAN – Seramai 17 pesakit di wad kanak-kanak dan wanita Hospital Jengka di sini, melalui detik cemas apabila siling hospital di wad berkenaan terbakar semalam.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kebakaran berjaya dipadamkan oleh pihak bomba dan kesemua pesakit iaitu enam kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan dan enam wanita tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kebakaran bermula daripada atas siling bangunan wad kanak-kanak dan wad wanita, mengakibatkan 10 peratus siling bangunan wad terbakar.
“Punca kebakaran masih belum diketahui dan masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post 17 pesakit cemas, siling hospital terbakar appeared first on Kosmo Online.






