21 Pesakit Wanita, Kanak-Kanak Dipindah Susulan Kebakaran Wad Hospital Jengka - JKN Pahang

LocalHealth & Fitness
10 Sep 2026 • 11:17 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

21 Pesakit Wanita, Kanak-Kanak Dipindah Susulan Kebakaran Wad Hospital Jengka - JKN Pahang

KUANTAN, 10 Sept (Bernama) -- Sebanyak 21 pesakit dipindahkan ke Hospital Jerantut dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh selepas berlaku kebakaran di Wad Kanak-Kanak dan Wad Wanita Hospital Jengka, malam tadi.

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKN Pahang) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 10 pesakit wanita dan tiga pesakit kanak-kanak dipindahkan ke Hospital Jerantut, manakala lapan pesakit kanak-kanak dipindahkan ke HoSHAS untuk meneruskan rawatan.

Menurut kenyataan itu, JKN Pahang telah menyelaras pemindahan berkenaan sebagai langkah memastikan keselamatan pesakit, waris dan petugas, selain memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.

“JKN Pahang telah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan pesakit, waris dan petugas serta kelangsungan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas dan orang ramai dimohon agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini,” menurut kenyataan itu.

Baca juga:

Kenyataan itu turut memaklumkan kebakaran yang berlaku kira-kira 7 malam itu, dipercayai bermula di bahagian bumbung Wad Kanak-Kanak, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

JKN Pahang memaklumkan tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kejadian itu, manakala kebakaran berjaya dikawal oleh JBPM dan keadaan di lokasi kini terkawal.

“Semasa kejadian, wad tersebut menempatkan seramai 11 orang pesakit kanak-kanak bersama-sama 11 orang waris, serta 10 orang pesakit wanita dewasa,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Maran Superintenden Wong Kim Wai memaklumkan sebahagian siling Wad Kanak-Kanak dan Wad Wanita Hospital Jengka terbakar dalam kejadian berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved