18 pelaut Malaysia masih bertugas di zon konflik Asia Barat

13 Mar 2026 • 11:16 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seramai 18 ahli MOS berada di kawasan yang dikategorikan sebagai zon konflik di Asia Barat. Foto: Agensi

KUALA LUMPUR - Sebanyak 18 pelaut luar pesisir (offshore) Malaysia yang juga ahli Persatuan Pelaut Luar Pesisir Malaysia (MOS) dilaporkan sedang bertugas di beberapa kawasan operasi di Asia Barat yang kini dikategorikan sebagai zon konflik.

Presiden MOS, Kapten Tunku Ismail Tunku Yahaya berkata, maklumat tersebut diperoleh menerusi rangkaian ahli persatuan itu yang kini berkhidmat di kapal sokongan industri minyak dan gas di rantau berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini kebanyakan mereka masih menjalankan operasi seperti biasa dengan pemantauan keselamatan yang ketat oleh syarikat perkapalan serta pengurusan kapal.

"Industri luar pesisir mempunyai prosedur keselamatan tertentu bagi operasi di kawasan berisiko tinggi dan perkara ini sentiasa dipantau oleh pihak operator serta syarikat kapal,” katanya kepada Bernama.

Tunku Ismail berkata MOS yang mempunyai lebih 1,200 ahli turut dimaklumkan bahawa pelaut terbabit ditempatkan di beberapa lokasi operasi termasuk di Arab Saudi, Qatar serta sektor Emiriah Arab Bersatu meliputi Dubai dan Abu Dhabi.

Bagaimanapun, katanya keselamatan serta kebajikan pelaut Malaysia perlu sentiasa menjadi keutamaan terutama bagi mereka yang bertugas di kawasan berisiko tinggi.

"MOS berharap syarikat perkapalan dan operator memastikan pelaut yang ditempatkan di kawasan berisiko tinggi diberikan perlindungan sewajarnya termasuk aspek keselamatan, perlindungan insurans serta pampasan berkaitan operasi di kawasan konflik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MOS akan terus memantau perkembangan semasa selain berhubung dengan ahli-ahlinya yang berada di kawasan operasi bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selamat.

Seramai 18 ahli persatuan itu berada di kawasan yang dikategorikan sebagai zon konflik di Asia Barat, melibatkan:

Arab Saudi (sembilan orang):

Haizir Abu Hasan

Mohd Subky Mohd Isa

Kapten Suryaintheran Selvaraja

Mohd Hasmurieman Hashim

Azzahraul Nazrin Zainal Azri

Muhammad Qutaibah Mustaffa Kamal

Mohd Khairul Nizam Abd Razak

Mohd Firdaus Mohd Ali

Mohd Fahmi A Rahman

Qatar (empat orang):

Mohamad Hafizzudin Mohamad Suraji

Lau Han Seong

Mohamad Sudaimi Abd Ghani

Mohd Amirulhafiz Mohd Johar

Emiriah Arab Bersatu - sektor Dubai/Abu Dhabi (lima orang):

Mu’ammar Asyraf Buzali

Ahmad Sayuti Husin

Nik Mohamad Shafik Nik Zulkifli

Lokmanulhakim Badizoman

Mohd Nazri Sharif

Ketegangan di Asia Barat terus meruncing sejak 28 Feb apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap Iran, yang mencetuskan serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk. - Bernama