18 Premis Musnah Dalam Kebakaran Berhampiran Stesen Komuter Pantai Dalam

8 Aug 2025 • 2:49 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 rumah setinggan dan empat premis kedai berhampiran Stesen Komuter Pantai Dalam musnah dalam kebakaran lewat malam tadi.

Panggilan kecemasan 11.11 malam

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.11 malam sebelum menghantar pasukan dari Balai Bomba Pantai dengan bantuan Balai Hang Tuah, Seputeh dan Sri Hartamas.

Operasi membabitkan 36 anggota, tiga jentera FRT, dua tangki air dan satu platform tangga udara.

80 peratus kawasan rumah setinggan musnah

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, PKPgB Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said, api memusnahkan kira-kira 80 peratus kawasan rumah setinggan berkeluasan 100 x 80 kaki persegi.

Pasaraya Karnival hangus, Mydin Mart terbakar

Kebakaran turut merebak ke empat premis berhampiran termasuk dua pasar raya.

“Bahagian atas Pasaraya Karnival musnah sepenuhnya, manakala tingkat bawah Mydin Mart terbakar 20 peratus. Tiga kedai lain mengalami kerosakan 90 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Kebakaran dikawal 1.49 pagi

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.49 pagi.

Tiada mangsa cedera dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan. – The Malaysian Update