
SHAH ALAM, 23 JAN: Sebanyak 181 sekolah di Selangor dikenal pasti sebagai sekolah padat dan bakal menerima bilik darjah tambahan baharu bermula tahun ini bagi mengatasi masalah kekurangan ruang pembelajaran.
Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abd Kassim berkata projek pembinaan akan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagai penyelesaian jangka pendek dan sederhana terhadap isu kepadatan kelas.
“Kita mahu pastikan sekolah padat ini, kita akan bina kelas tambahan menggunakan konsep sistem IBS. Setakat ini, ada 181 sekolah yang telah dikenalpasti.
“Kementerian amat komited untuk membina bangunan ini bagi memastikan semua murid dan guru berada dalam ruang yang selesa. Kita harap ia dapat memberi impak positif,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau ditemui selepas menerima kunjungan hormat daripada Media Selangor yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree di Pejabat Pendidikan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Wan Nor Ashikin menambah, semua projek bilik darjah tambahan baharu di 181 sekolah seluruh Selangor dijangka siap menjelang akhir tahun ini dengan menelan kos jutaan ringgit.
Katanya, projek berkenaan dijangka dimulakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra, Hulu Langat yang berdepan isu sekolah padat sehingga memberi kesan kepada isu keselesaan dan keberkesanan sesi pembelajaran.
“Antaranya (yang akan dibina) di SMK Bandar Seri Putera. Itu antara sekolah yang kita akan bina secepat mungkin kerana kita dapati ada pertambahan murid yang begitu mendadak di situ,” katanya.
Pada 11 Januari lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan SMK Bandar Seri Putera bakal menerima 10 bilik darjah tambahan yang akan dibina menggunakan kaedah IBS.
Sistem IBS, yang juga dikenali sebagai pembinaan pasang siap, mengurangkan penggunaan buruh, mempercepatkan tempoh siap, selain berupaya meningkatkan kualiti serta keselamatan di tapak pembinaan.
Isu kepadatan kelas di beberapa sekolah di seluruh negara sering dibangkitkan pengguna media sosial, khususnya ibu bapa yang berharap masalah itu dapat diatasi demi keselesaan pelajar dan pihak sekolah.


