19 hari tanpa khabar, keluarga rakyat Malaysia hilang di Nepal terus menanti

14 Sep 2026 • 1:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 19 hari tanpa khabar, keluarga rakyat Malaysia hilang di Nepal terus menanti
Sehingga kini, Krishnan kekal antara rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan

KUALA LUMPUR - Sudah 19 hari keluarga V Krishnan, 74, menanti perkembangan mengenai nasibnya selepas lelaki itu antara 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan bencana banjir besar dan runtuhan glasier di sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu.

Anak Krishnan, K Divya Varshini, 29, berkata, setakat ini tiada perkembangan besar diterima daripada Wisma Putra berhubung nasib bapanya.

“Setakat ini tiada perkembangan besar daripada Wisma Putra. Sudah 19 hari,” katanya menerusi WhatsApp pada Isnin.

Divya sebelum ini memaklumkan tiada maklumat baharu diterima daripada pihak kedutaan mahupun pihak berkuasa selepas sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris diambil bagi membantu proses pengesahan identiti.

Apabila ditanya sama ada beliau ada bermimpikan bapanya sejak kebelakangan ini, Divya meminta supaya soalan berkaitan perkara peribadi tidak diajukan.

“Maaf... tetapi saya benar-benar mahu mengelak daripada menjawab soalan peribadi,” katanya.

Krishnan sebelum ini dilaporkan berlepas pada 23 Ogos lalu bersama sekumpulan 26 jemaah bagi menjayakan perjalanan keagamaan ke Gunung Kailash yang menjadi impiannya sejak sekian lama.

Kumpulan itu dilaporkan terputus hubungan di kawasan sempadan Nepal-Tibet susulan bencana berkenaan.

Divya sebelum ini memberitahu bapanya amat teruja untuk menyertai perjalanan itu dan sepatutnya dijadualkan pulang ke tanah air baru-baru ini.

Pada Sabtu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Nepal bagi mencari kaedah untuk mengesahkan secara rasmi status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.

Beliau berkata langkah itu penting bagi membolehkan waris menguruskan perkara berkaitan termasuk tuntutan insurans dan dokumentasi.

Sehingga kini, Krishnan kekal antara rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan, manakala keluarganya terus menanti sebarang perkembangan daripada pihak berkuasa.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved