19 syarikat Malaysia antara 200 syarikat kecil dan sederhana berprestasi terbaik di Asia Pasifik

Business & Finance
4 Aug 2026 • 2:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 19 syarikat Malaysia  antara 200 syarikat kecil dan sederhana berprestasi terbaik di Asia Pasifik
Lebih separuh daripada syarikat Malaysia yang tersenarai mendapat manfaat daripada ledakan pembangunan infrastruktur AI negara. - Gambar hiasan

SEBANYAK 19 syarikat Malaysia tersenarai dalam senarai Forbes Asia Best Under A Billion 2026, lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan prestasi kukuh syarikat tersenarai bersaiz kecil dan sederhana negara di rantau Asia Pasifik.

Forbes Asia berkata, lebih separuh daripada syarikat Malaysia yang tersenarai mendapat manfaat daripada ledakan pembangunan infrastruktur AI negara.

Menurutnya, syarikat kecil dan sederhana yang tersenarai dalam Forbes Asia Best Under A Billion tahun ini berjaya mengharungi cabaran ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan pasaran tenaga.

"Turut membuat penampilan sulung dalam senarai ialah syarikat Malaysia, Southern Cable Group, pengeluar kabel voltan rendah dan voltan tinggi.

"Syarikat itu mendapat manfaat daripada pertumbuhan pesat industri pusat data negara yang menyumbang 15 peratus daripada hasilnya berjumlah RM1.8 bilion (AS$411 juta) pada 2025," katanya dalam satu kenyataan.

Best Under A Billion 2026 mengiktiraf 200 syarikat tersenarai kecil dan sederhana berprestasi terbaik di rantau Asia Pasifik yang mencatatkan jualan tahunan melebihi AS$10 juta dan kurang daripada AS$1 bilion.

Daripada lebih 19,000 syarikat tersenarai, syarikat dalam senarai tanpa ranking ini dipilih berdasarkan skor gabungan menggunakan ukuran seperti hutang, pertumbuhan jualan dan pendapatan sesaham bagi tempoh fiskal terkini satu tahun dan tiga tahun, serta purata pulangan ekuiti terkuat bagi tempoh satu tahun dan lima tahun.

Forber Asia menambah, seperti tahun-tahun sebelumnya, China mencatatkan jumlah syarikat tertinggi dalam senarai dengan 28 nama, manakala India berada di tempat kedua dengan 27 syarikat.

Jelasnya, senarai tersebut didominasi oleh syarikat yang bergerak seiring dengan perkembangan pantas sektor teknologi serta ledakan kecerdasan buatan (AI) global.

"Syarikat perisian serta pembekal komponen elektronik utama dan peralatan untuk industri semikonduktor menyumbang 25 peratus daripada syarikat yang layak.

"Syarikat lain pula memanfaatkan peningkatan pesat penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh diperbaharui dengan memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat terhadap peralatan serta perkhidmatan khusus. Lapan syarikat yang mencerminkan trend ini diberi tumpuan bersama senarai berkenaan," katanya.

Senarai Best Under A Billion, yang diperkenalkan sejak 2002, telah menampilkan beberapa kisah kejayaan terbesar Asia.

Antara bekas syarikat yang pernah disenaraikan termasuk syarikat teknologi China seperti Baidu, Alibaba dan Tencent serta pengeluar automotif Geely Automobile; syarikat perisian dan perkhidmatan perundingan India seperti Infosys dan Wipro serta firma biofarmaseutikal Biocon; pemaju hartanah runcit Thailand Central Pattana; rangkaian makanan segera popular Filipina Jollibee; pengeluar makanan dan minuman Taiwan Want Want Holdings serta pemaju hartanah Malaysia IOI Properties dan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved