hamden04/08/2026 - 16:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos - Sebanyak 19 syarikat Malaysia berjaya tersenarai dalam Forbes Asia Best Under A Billion 2026, lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya, dengan lebih separuh daripada syarikat berkenaan mendapat manfaat daripada ledakan pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di negara ini.
Forbes Asia dalam satu kenyataan berkata, senarai tahunan itu mengetengahkan 200 syarikat tersenarai kecil dan sederhana berprestasi terbaik di rantau Asia Pasifik yang berjaya mengekalkan prestasi kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Menurutnya, syarikat yang tersenarai tahun ini kebanyakannya berada dalam sektor yang mendapat manfaat langsung daripada perkembangan pesat teknologi dan permintaan global terhadap AI.
"Seperti tahun-tahun sebelumnya, China mencatatkan jumlah syarikat tertinggi dalam senarai itu dengan 28 syarikat, diikuti rapat oleh India dengan 27 syarikat.
"Jumlah syarikat Malaysia pula meningkat lebih dua kali ganda kepada 19 syarikat, dengan lebih separuh daripadanya mendapat manfaat daripada ledakan pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di negara ini.
"Secara keseluruhannya, 60 syarikat dalam senarai Forbes Asia Best Under A Billion 2026 merupakan syarikat yang turut tersenarai pada edisi 2025," katanya dalam kenyataan media.
Antara syarikat tempatan yang membuat penampilan sulung ialah Southern Cable Group, pengeluar kabel voltan rendah dan voltan tinggi, yang disokong oleh pertumbuhan pesat industri pusat data.
Sektor pusat data menyumbang kira-kira 15% daripada hasil Southern Cable sebanyak RM1.8 bilion pada 2025, sekali gus menjadi pemacu utama pertumbuhan syarikat itu.
Senarai Best Under A Billion memilih 200 syarikat tersenarai awam daripada lebih 19,000 syarikat di Asia Pasifik yang mencatatkan jualan tahunan melebihi AS$10 juta tetapi kurang daripada AS$1 bilion.
Forbes Asia berkata, kira-kira 25% daripada syarikat yang layak terdiri daripada syarikat perisian serta pembekal komponen elektronik dan peralatan utama bagi industri semikonduktor.
Selain AI, syarikat yang berkaitan dengan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh diperbaharui turut mencatat penyertaan yang kukuh apabila berjaya memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap peralatan dan perkhidmatan khusus dalam kedua-dua industri berkenaan.
"Syarikat kecil dan sederhana yang tersenarai dalam Forbes Asia's Best Under A Billion tahun ini berjaya mengharungi cabaran ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan pasaran tenaga," katanya.
Perkembangan itu mencerminkan perubahan landskap ekonomi Asia Pasifik yang semakin dipacu oleh transformasi digital, pembangunan AI serta peralihan tenaga, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada syarikat bersaiz kecil dan sederhana untuk berkembang dalam rantaian nilai teknologi global. - DagangNews.com






