
BUKAN sehari dua membina kehidupan bersama. Hampir dua dekad melayari bahtera rumah tangga, pelakon Fauzi Nawawi dan Lisdawati terus memilih untuk berjalan seiring, melalui pelbagai fasa kehidupan sebagai suami isteri dan ibu bapa.
Tanggal 9 September lalu menjadi tarikh istimewa buat pasangan itu apabila mereka meraikan ulang tahun perkahwinan ke-19. Masing-masing berkongsi momen bermakna tersebut menerusi media sosial, sambil menitipkan doa agar ikatan yang dibina terus kekal hingga ke penghujung usia.
Fauzi menerusi perkongsiannya melahirkan rasa syukur kerana mereka masih diberi kesempatan untuk bersama selepas 19 tahun mendirikan rumah tangga.
“Alhamdulillah, genap 19 tahun usia perjalanan kami berdua. Tolong doakan agar kami cekal dan kekal hingga akhirnya,” katanya.
Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, turut tidak ketinggalan menitipkan ucapan buat insan yang menjadi teman hidupnya selama ini.

Dengan penuh kesyukuran, pelakon berkenaan berkongsi bahawa 19 tahun bukan sekadar angka, sebaliknya perjalanan yang dilalui bersama sebagai pasangan suami isteri.
“Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Genap 19 tahun kita melayari bahtera rumah tangga. Semoga hubungan ini kekal hingga hujung nyawa,” ungkapnya.
Untuk rekod, Lisdawati dan Fauzi mendirikan rumah tangga pada 9 September 2007.
Sepanjang hampir dua dekad bersama, kehidupan mereka turut diserikan dengan kehadiran empat cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, Nur Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus dan Ahmad Nur Fayyadh.
Ulang tahun ke-19 yang diraikan pasangan itu menjadi satu lagi detik untuk mengenang perjalanan panjang mereka sebagai suami isteri, selain mensyukuri keluarga yang dibina bersama.
Kredit foto: IG Fauzi Nawawi & Lisdawati






