
KANGAR – Kira-kira 2,000 banduan di Perlis sudah menjalani program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sejak diperkenalkan pada 2017 sebagai sebahagian usaha membantu mereka kembali menjalani kehidupan dalam masyarakat.
Pengarah Penjara Negeri Perlis, Penolong Kanan Komisioner Ab Nasiff Sarahan berkata, program pemulihan dalam komuniti itu memberi peluang kepada banduan terpilih bekerja dan memperoleh pendapatan sebelum dibebaskan sepenuhnya.
“Apabila prospek ini menjalani PBSL dan bekerja, dia ada pendapatan sendiri. Apabila dibebaskan kelak, dia mempunyai duit sendiri untuk memulakan kehidupan,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke pusat cuci kenderaan Aza Carwash di sini hari ini.
Menurut Ab Nasiff, kira-kira 100 Orang Bebas Berlesen sedang menjalani pemulihan dalam komuniti di seluruh Perlis ketika ini dengan mereka bekerja dalam pelbagai sektor.
“Jabatan Penjara turut bekerjasama dengan 13 majikan di negeri ini yang bersedia menawarkan pekerjaan kepada Orang Bebas Berlesen serta banduan parol. Daripada 13 ini, yang banyak adalah dalam sektor perkhidmatan sama ada ‘car detailing’ dan pembersihan kawasan selain bidang pertanian serta kilang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 2,000 banduan jalani pemulihan dalam komuniti sejak 2017 appeared first on Kosmo Digital.




