2,097 anggota polis ditahan sejak 2021 termasuk 1,551 kes dadah - Dewan Rakyat diberitahu

LocalPolitics
28 Oct 2026 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

2,097 anggota polis ditahan sejak 2021 termasuk 1,551 kes dadah - Dewan Rakyat diberitahu Image from: 2,097 anggota polis ditahan sejak 2021 termasuk 1,551 kes dadah - Dewan Rakyat diberitahu amree28/10/2026 - 15:50 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt — Seramai 2,097 anggota dan pegawai polis ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah, rompakan dan rasuah dari 2021 hingga Ogos 2026, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

 

Daripada jumlah itu jelasnya, sebanyak 1,551 tangkapan membabitkan kesalahan dadah, manakala 482 pula ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta 64 lagi atas kesalahan rompakan.

 

Beliau memberikan penjelasan berkenaan sebagai menjawab soalan daripada Lim Lip Eng (PH-Kepong) di Dewan Rakyat yang ingin tahu mengenai jumlah anggota polis ditahan atas pelbagai kesalahan terbabit sejak 2021.

 

"Bagi kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, sebanyak 357 tangkapan direkodkan sepanjang 2021, diikuti 248 pada 2022 dan 245 pada 2023," tegas Saifuddin Nasution.

 

Jumlah tersebut ujar beliau, meningkat kepada 310 tangkapan pada 2024 sebelum mencatatkan 256 pada 2025 dan 135 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

 

Sementara itu, tangkapan berkaitan rompakan merekodkan 10 kes masing-masing pada 2021 dan 2022, 11 pada 2023, 13 pada 2024 serta 10 setiap tahun pada 2025 dan bagi lapan bulan pertama 2026.

 

polis_Bernama
Gambar hiasan kredit BERNAMA

 

Bagi tangkapan oleh SPRM kata Saifuddin Nasution, jumlahnya meningkat daripada 77 pada 2021 kepada 86 pada 2022 sebelum mencapai paras tertinggi dalam tempoh berkenaan sebanyak 129 pada 2023.

 

"Angka itu kemudian menurun kepada 53 pada 2024, sebelum meningkat kepada 87 pada 2025 dan mencatatkan 50 tangkapan dari Januari hingga Ogos 2026," jelasnya.

 

Dalam jawapan sama, beliau turut menjelaskan perkembangan siasatan kes membabitkan 12 anggota polis yang disyaki merompak sekumpulan warga asing melibatkan mata wang kripto bernilai RM200,000 di Country Heights, Kajang, Selangor pada 5 Februari 2026.

 

Saifuddin Nasution berkata, kertas siasatan dibuka berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan rompakan berkumpulan.

 

Kesemua 12 anggota berkenaan, termasuk empat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, ditahan selepas seorang warga China membuat laporan polis berhubung kejadian di sebuah banglo sewa. 

 

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, sebelum ini memaklumkan bahawa mereka ditempatkan menjalankan tugas pejabat bagi memastikan siasatan berjalan dengan teratur. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved