Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, masih ada baki RM8.9 bilion - Dewan Rakyat diberitahu

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, masih ada baki RM8.9 bilion - Dewan Rakyat diberitahu Image from: Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, masih ada baki RM8.9 bilion - Dewan Rakyat diberitahu amree28/10/2026 - 12:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt — Kerajaan sudah melunaskan RM42.5 bilion bagi memenuhi hutang dan komitmen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), manakala baki komitmen sukuk yang dijamin kerajaan masih bernilai RM8.9 bilion menjelang tarikh matang pada 2039.

 

Demikian penjelasan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat apabila mendedahkan keseluruhan tanggungan kewangan yang telah dibayar dan masih perlu dibayar mencecah RM51.4 bilion.

 

Jelas beliau, selepas diambil kira pemulihan dana dan aset sebanyak RM31.3 bilion, beban bersih kepada kerajaan dianggarkan kekal pada paras RM20.1 bilion sekiranya tiada langkah pemulihan tambahan diperoleh.

 

"Mengenai tempoh penyelesaian, kerajaan menegaskan bahawa tahun matang sukuk pada 2039 dan tempoh penyelesaian tuntutan mahkamah adalah dua perkara yang berbeza," katanya menjawab pertanyaan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur).

 

Sehubungan itu jelas Amir Hamzah, kerajaan belum menetapkan tahun muktamad untuk menyelesaikan semua proses pemulihan aset kerana ia amat bergantung kepada keputusan mahkamah serta penguatkuasaan di dalam dan luar negara.

 

Mengenai unjuran pemulihan pula katanya, sebarang nilai yang dituntut belum boleh dianggap sebagai pasti diterima memandangkan ia tertakluk kepada proses rayuan, hak pihak ketiga serta kerumitan undang-undang.

 

1MDB_DagangNews2026

 

Menjawab persoalan mengenai pembiayaan hutang tersebut, kerajaan mendedahkan bahawa sebanyak RM18.7 bilion sudah dibelanjakan daripada peruntukan Belanja Mengurus dan Pembangunan sejak 2017.

 

"Bahkan pada Mac 2023, kerajaan memperuntukkan RM13 bilion daripada Belanja Pembangunan untuk melunaskan bon 1MDB bernilai AS$3 bilion (RM12.24 bilion), bersamaan 13.1% daripada keseluruhan peruntukan pembangunan tahun tersebut," kata Amir Hamzah.

 

Dana sebesar itu ujar beliau, sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk membina lebih banyak sekolah, hospital, jalan raya serta kemudahan asas rakyat sekiranya ia tidak diheret untuk menanggung kemelut kewangan lampau.

 

Justeru, sebagai langkah pencegahan agar skandal seumpama itu tidak berulang, kerajaan telah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta meminda Akta Audit 1957.

 

Pindaan undang-undang ini memperluas skop pengauditan Ketua Audit Negara melalui pendekatan tertentu bagi memastikan perbelanjaan dana awam diaudit dengan lebih telus dan secara menyeluruh.

 

"Kerajaan namun komited untuk terus memperkukuh disiplin fiskal dan tatakelola pentadbiran demi melindungi wang awam serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi negara," tegasnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved