2 Beranak Lemas: Mayat Bapa Ditemui Pegang Erat Kaki Anak

31 Aug 2026 • 3:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

2 Beranak Lemas: Mayat Bapa Ditemui Pegang Erat Kaki Anak

PENGERANG - Hasrat sebuah keluarga menikmati percutian sempena cuti sekolah bertukar tragedi apabila seorang bapa dan anak lelakinya maut selepas dihanyutkan ombak besar ketika mandi di Pantai Kampung Punggai, di sini, Ahad lalu.

Lebih memilukan, Mohammad Nizam Zainal, 33, ditemukan masih erat memegang kaki anak sulungnya, Muhammad Zamri Mikhail, lapan tahun, selepas mayat kedua-dua mereka ditarik keluar dari laut.

Nizam, yang bekerja sebagai pengusaha bengkel, dikatakan masuk ke laut bersama Zamri kira-kira jam 6 petang sebelum mereka dihanyutkan ombak kuat kira-kira 10 minit kemudian.

Isterinya, Nurul Jannah Kamaruzaman, 31, berkata ketika kejadian, dia terdengar jeritan suaminya meminta pertolongan sebelum melihat Nizam cuba menyelamatkan anak mereka daripada terus dihanyutkan arus.

“Saya nampak suami beberapa kali cuba mengangkat dan mencampakkan anak kami ke atas permukaan air, mungkin untuk menyelamatkannya daripada tenggelam.

“Orang ramai yang berada di lokasi kemudian segera membantu dengan berpaut tangan membentuk rantaian manusia untuk membawa mereka keluar dari laut,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, hari ini.

Menurut Nurul Jannah, mereka bersama keluarga ibu saudaranya datang berkhemah sempena cuti sekolah dan dijadualkan pulang hari ini.

Katanya, Nizam yang sememangnya gemar aktiviti perkhemahan begitu teruja dengan percutian berkenaan, malah kelihatan lebih ceria dan banyak bercakap sejak beberapa hari sebelum kejadian.

“Suami memang sangat suka berkhemah dan kali ini dia begitu teruja untuk pergi. Saya perasan dia lebih ceria daripada biasa dan banyak bercakap.

“Tetapi sejak tiga hari lalu, dia tidak dapat tidur pada waktu malam sehingga terpaksa mengambil ubat,” katanya.

Nurul Jannah berkata, sesuatu yang dirasakan agak luar biasa ialah Nizam tidak mengajaknya untuk turut serta ke pantai bersama Zamri seperti kebiasaan.

“Saya hanya tahu mereka pergi ke laut selepas bapa saudara bertanya di mana Nizam dan Zamri.

“Ketika itu barulah saya nampak mereka sudah berada di pantai dan sedang mandi,” katanya.

Beliau berkata, perasaan tidak sedap hati yang dirasainya sepanjang perjalanan ke tapak perkhemahan akhirnya menjadi kenyataan paling menyayat hati apabila suami dan anak sulungnya pergi buat selama-lamanya.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bayu Damai.

Mayat mereka kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan dijangka dikebumikan di Felda Papan Timur selepas semua urusan berkaitan selesai. - Getaran, 31 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved