KOTA TINGGI - “Suami dan anak turun mandi ke laut jam 6 petang dan tak lama kemudian terdengar suami menjerit meminta tolong.”
Itu detik cemas yang masih terngiang-ngiang dalam ingatan Nurul Jannah Kamaruzaman, 31, sebelum suaminya, Mohammad Nizam Zainal, 33, dan anak sulung mereka, Muhammad Zamri Mikhail, 8, maut akibat lemas di Pantai Kampung Punggai, Pengerang, pada Ahad.
Nurul Jannah berkata, dia kemudian ternampak suaminya melambung anak mereka beberapa kali dipercayai dalam usaha menyelamatkan Zamri sebelum orang ramai yang berada di situ segera membentuk rantaian bagi membawa kedua-duanya keluar dari laut.
“Saya ternampak suami lambung anak beberapa kali, nak cuba selamatkannya sebelum orang ramai di situ segera memegang erat tangan masing-masing untuk membuat rantaian bagi membawa keluar mereka,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi pada Isnin.
**media[3631997]**
ARTIKEL BERKAITAN: Dua beranak lemas ketika mandi pantai
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Nizam yang merupakan pengusaha bengkel kereta bersama Zamri dilaporkan mandi di pantai berkenaan sebelum dihanyutkan ombak besar kira-kira 10 minit kemudian.
Suami dan anaknya itu kemudiannya dibawa keluar dari laut oleh bapa saudara selepas kejadian berlaku.
Nurul Jannah berkata, mereka ke tapak perkhemahan itu bersama keluarga ibu saudaranya sempena cuti persekolahan dan sepatutnya pulang ke rumah pada Isnin.
Menurutnya, suaminya yang gemar berkhemah begitu teruja untuk menyertai aktiviti berkenaan, malah menunjukkan perubahan sikap sejak beberapa hari sebelum kejadian.
**media[3631999]**
"Suami memang suka berkhemah dan sangat teruja untuk pergi kali ini. Nampaklah perubahan dia yang terlebih ceria dan banyak cakap.
"Cuma tiga hari kebelakangan ini dia tidak dapat tidur malam sehingga terpaksa mendapatkan ubat," katanya.
Tambahnya, sebelum kejadian, suaminya juga tidak mengajaknya mandi di pantai seperti kebiasaannya.
“Saya sedar dia mandi di pantai pun selepas bapa saudara tanya mana Nizam dan Zamri lalu saya ternampak mereka sudah mandi di pantai,” katanya.
**media[3632082]**
Nurul Jannah berkata, perasaan tidak sedap hati yang dirasainya sepanjang perjalanan ke tapak perkhemahan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila dia kehilangan suami dan anak sulungnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua beranak berkenaan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bayu Damai.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat sebelum dijangka dikebumikan di Felda Papan Timur di sini.


![[VIDEO] Suami sempat lambung anak sebelum lemas bersama](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/lemas-suami-anak-1024x768.jpeg)



