
KOTA TINGGI: Hasrat dua sekeluarga meluangkan masa di kawasan perkelahan berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut akibat lemas di persisiran pantai Aliyya Beachfront Campsite (ABC), Kampung Punggai, Pengerang di sini, malam semalam.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohammad Nizam Zainal, 33, dan anak lelakinya, Muhammad Zamri Mikhail, 8.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Aldron Dey Judih@Judeh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 7.10 malam.
Beliau berkata, susulan laporan diterima, seramai enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan pacuan empat roda Hilux dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati dua mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dibawa ke darat oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Anggota PKO bertindak memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, mangsa kanak-kanak dihantar ke Klinik Kesihatan Bayu Damai menaiki kenderaan keluarga, manakala bapanya dibawa menggunakan jentera Hilux BBP Punggai bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas sebaik tiba di klinik berkenaan,” katanya sambil memberitahu operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.10 malam.-UTUSAN
The post Dua sekeluarga lemas di tapak perkhemahan Kampung Punggai appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Suami sempat lambung anak sebelum lemas bersama](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/lemas-suami-anak-1024x768.jpeg)


