amree04/11/2026 - 12:15 PANORAMA suasana Pulau Jerejak dari udara berlatar belakang bandar raya George Town dan Jambatan Pulau Pinang. - Foto kredit Khairul Azham Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov — Cadangan pembinaan jambatan baharu bernilai RM500 juta yang menghubungkan Pulau Jerejak dengan tanah besar Pulau Pinang menjadi perhatian apabila kerajaan negeri itu mengesahkan tiada rancangan khusus untuk membangunkan pulau berkenaan buat masa ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjelaskan, beberapa cadangan bagi usaha pembangunan bercampur, infrastruktur dan kemudahan rekreasi pernah dikemukakan oleh pelbagai pemaju swasta, namun ia masih lagi tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Menurut beliau, segala cadangan pembangunan di pulau berkenaan pada ketika ini hanya digerakkan menerusi inisiatif pihak swasta, namun tetap perlu memenuhi semua syarat perancangan serta perundangan yang ditetapkan.
"Justeru, sebarang pembangunan di Pulau Jerejak perlu mendapatkan kelulusan perancangan selain memenuhi keperluan berkaitan aspek tanah, teknikal dan perundangan daripada pihak berkuasa berkenaan," tegas beliau.
Kon Yeow menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Rabu.
Woo sebelum itu meminta penjelasan sama ada kerajaan negeri berkenaan atau pemilik tanah persendirian mempunyai apa-apa perancangan untuk membangunkan Pulau Jerejak.

Dalam perkembangan berkaitan, permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi tapak seluas 0.8 hektar untuk membina jambatan yang menghubungkan Persiaran Bayan Indah berhampiran Queensbay ke Pulau Jerejak sudah diluluskan pada 2023.
"Lesen berkenaan, bagaimanapun perlu diperbaharui pada setiap tahun sehingga 2026 dengan dikenakan bayaran tahunan sebanyak RM12,300," ujar Kon Yeow lagi
Sebelum ini, media tempatan pernah melaporkan cadangan pembinaan jambatan baharu sepanjang satu kilometer yang menghubungkan Pulau Jerejak dengan pulau utama di Bayan Lepas, melibatkan kos RM500 juta, dan dijangka bermula tahun ini.
Pulau Jerejak merupakan sebuah pulau kecil di Selat Pulau Pinang dengan kira-kira 85% daripada keseluruhan kawasan daratannya sudah diwartakan kerajaan sebagai hutan simpan dan dilindungi daripada sebarang bentuk pembangunan.
Justeru, Kon Yeow menegaskan kerajaan negeri setakat ini belum mempunyai sebarang perancangan khusus untuk membangunkan Pulau Jerejak, manakala sebarang cadangan pembangunan yang dikemukakan pihak swasta perlu melalui proses kelulusan sewajarnya. - DagangNews.com





