
PASIR GUDANG - Dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang berhampiran sebuah empangan di Jalan Murai 2, Taman Scientex, di sini, petang semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Haizrul Rahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.36 malam.
Beliau berkata sebaik Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi, pihaknya dimaklumkan kedua-dua kanak-kanak berkenaan telah hilang sejak petang.
“Ayah mangsa memaklumkan kedua-dua anaknya dikhuatiri lemas di empangan selepas sebuah basikal dan selipar milik mangsa ditemukan di lokasi.
“Susulan laporan itu, anggota bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Haizrul berkata operasi SAR masih dijalankan dan usaha mengesan kedua-dua mangsa sedang giat dilakukan.
“Operasi masih diteruskan dan usaha untuk mengesan kedua-dua mangsa masih dijalankan,” katanya. - Getaran, 10 Ogos 2026






