2 Lelaki Ditahan, Cuba Ceroboh Istana Negara Bawa Parang

18 May 2024 • 1:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kenderaan milik kedua-dua suspek yang digunakan sewaktu kejadian - Gambar IPK KL

KUALA LUMPUR - Dua lelaki yang membawa parang ditahan ketika disyaki cuba menceroboh Istana Negara, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kedua-dua suspek ditahan ketika cuba memasuki istana sekitar jam 4.40 petang semalam, melalui Pintu 3.

Menurut beliau, mereka yang menaiki PERODUA Kembara ditahan anggota polis yang berkawal di pintu masuk.

“Suspek memberitahu mahu berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan turut menemui sebilah parang,” katanya.

image is not available
Rusdi Mohd Isa - Gambar fail

Rusdi berkata, kedua-duanya tidak memiliki rekod jenayah lampau serta bekerja sebagai buruh binaan dan penghantar makanan Grab. 

“Hasil ujian saringan awal air kencing suspek adalah negatif dan kes disiasat di bawah Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. 

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari mulai hari ini sehingga 21 Mei untuk siasatan lanjut,” katanya.

Rusdi memberi ingatan, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. - Getaran, 18 Mei 2024