2 Lelaki Maut Dalam Kemalangan Berasingan Di Selangor, Kuala Lumpur

Local
28 May 2026 • 9:54 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

2 Lelaki Maut Dalam Kemalangan Berasingan Di Selangor, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Dua lelaki maut dalam dua nahas berasingan di Selangor dan ibu negara, dengan kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian pertama di Batang Kali, Hulu Selangor, seorang lelaki berusia 67 tahun maut selepas dipercayai dilanggar dan tersepit di bawah keretanya sendiri ketika cuba menutup pagar rumahnya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa telah meletakkan kenderaannya di dalam garaj sebelum keluar untuk menutup pagar hadapan rumah.

“Bagaimanapun, kenderaan tersebut tiba-tiba mengundur sendiri lalu melanggar mangsa sehingga menyebabkan beliau terjatuh dan tersepit di bawah kereta,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis percaya mangsa mungkin terlupa menarik brek tangan, manakala keadaan garaj yang bercerun ke arah pagar turut dipercayai menjadi faktor penyumbang kepada kejadian.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Anati Zulkifli di talian 03-6064 1222.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota bomba terpaksa dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kereta berkenaan.

Operasi menyelamat melibatkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa yang tiba di lokasi sekitar jam 5.43 petang.

Dalam kejadian berasingan di Jalan Kampung Pandan di sini, seorang pesara tentera maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah BMW yang keluar dari simpang, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8.30 pagi itu melibatkan sebuah motosikal Yamaha 135LC dan sebuah kereta BMW.

Siasatan awal mendapati penunggang motosikal berusia 45 tahun itu dipercayai melanggar bahagian kanan BMW berkenaan ketika kenderaan tersebut keluar dari simpang di sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan hospital,” katanya.

Pemandu BMW berusia 44 tahun serta penumpang lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan polis termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran mendapati, pemandu BMW tersebut berada di lokasi untuk mengambil rakannya sebelum meneruskan perjalanan ke Damansara.

Pemandu berkenaan ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan, namun ujian pernafasan dan saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif alkohol dan dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, rakaman video kemalangan tersebut tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta keluar dari simpang beberapa saat sebelum dirempuh motosikal terbabit. - Getaran, 28 Mei 2026

View Original Article