
KATHMANDU – Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 14 lagi hilang selepas runtuhan salji berlaku di puncak Himlung Himal, Nepal, kata seorang pegawai hari ini ketika pasukan penyelamat menyambung semula usaha pencarian.
Runtuhan salji melanda kem asas (Base Camp) di gunung setinggi 7,126 meter berhampiran sempadan China itu awal pagi semalam, menimbus khemah-khemah di bawah salji tebal.
“Dua mayat ditemukan ketika anggota-anggota penyelamat bekerja sehingga pukul 6.00 petang (waktu tempatan) semalam,” kata Presiden Persatuan Malim Gunung Nepal, Tul Singh Gurung kepada AFP.
Pencarian diteruskan untuk 14 pekerja ekspedisi yang masih hilang, tambahnya.
Pasukan terdiri daripada lapan malim gunung terlibat dalam operasi pencarian, Ketua pasukan penyelamat, Mingma G Sherpa berkata keadaan, cuaca yang mencabar menyukarkan usaha mereka.
“Kami mungkin boleh menyelamatkan nyawa tetapi disebabkan cuaca buruk, kami dapat sampai di lokasi kejadian hanya pada waktu petang (semalam),” katanya di laman Facebook.
Sherpa berkata, mangsa yang maut adalah malim gunung, manakala 14 yang hilang pula merupakan kakitangan dapur yang bekerja di kem ekspedisi.
Nepal yang menempatkan lapan daripada 14 puncak tertinggi dunia, sangat bergantung pada pelancongan pendakian gunung dan kembara berjalan kaki.- AFP
The post 2 maut, 14 hilang di Himlung appeared first on Kosmo Online.





