
JOHOR BAHRU - Dua individu ditemukan rentung selepas sebuah kereta Mercedes yang dinaiki lima individu terbabas sebelum terbalik dan terbakar berhampiran Kelab Golf Permas Jaya, menghala ke Bakar Batu, awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Razali Hussein berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 pagi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kenderaan berkenaan dipercayai terbabas sebelum terbalik dan terbakar dengan kira-kira 90 peratus bahagian kereta dijilat api.
“Seramai lima mangsa terlibat dalam kejadian itu dan tiga daripadanya berjaya keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba dan penyelamat,” katanya.
Beliau berkata, seorang lelaki berusia 23 tahun mengalami kecederaan melecur pada bahagian kaki dan tangan sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota bomba.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Seorang lagi mangsa turut dibawa ke hospital oleh orang awam.
Bagaimanapun, dua lagi mangsa ditemukan rentung di dalam kenderaan berkenaan dan identiti mereka masih belum dikenal pasti.
Razali berkata, anggota bomba menggunakan salur bantu mula bagi memadamkan kebakaran sebelum mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi pemadaman dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.47 pagi. - Getaran, 10 November 2026






