2 pelajar terbitkan penulisan jurnal, terima kiriman doa & sokongan Menteri Pendidikan

LocalPolitics
8 Aug 2025 • 3:54 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Fadhlina (kanan) bersama dua pelajar KV Keningau iaitu Felix (tengah) dan Brandon (kiri) di Bangunan Parlimen Malaysia. Foto: Facebook Fadhlina Sidek

Dua pelajar cemerlang Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah berkesempatan bertemu dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Bangunan Parlimen Malaysia baru-baru ini,

Kunjungan Felix Alejandro dan Brandon Alvin ini bukan sekadar memenuhi protokol rasmi sebaliknya menjadi platform mereka berkongsi kejayaan dan aspirasi masa depan.

Fadhlina menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan bahawa kedua-dua pelajar tersebut telah berjaya menerbitkan projek tahun akhir mereka dalam bentuk penulisan jurnal.

"Saya raikan kesungguhan anakanda Felix dan Brandon menerbitkan projek sedemikian.

"Didoakan mereka terus maju jaya dalam bidang yang diceburi. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin semangat bukan sahaja untuk kedua-duanya, malah seluruh pelajar KV di seluruh negara," tulisnya.

image is not available
Foto: Facebook Fadhlina Sidek

Menurut Fadhlina, kebolehpasaran graduan KV adalah sangat membanggakan dengan kadar sehingga 99 peratus setiap tahun.

"Namun, apa yang menjadi perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada waktu ini adalah memastikan para graduan KV mendapat gaji yang setimpal dengan kelayakan, kebolehan dan kemahiran dimiliki," tulisnya.

Terdahulu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang dan guru Bahasa Inggeris, Cikgu Dr Mohd Sirhajwan Idek turut hadir dalam sesi pertemuan bersama Fadhlina.

Kehadiran mereka bukan sahaja memberikan sokongan moral kepada Felix dan Brandon, malah turut menjadi tanda penghargaan terhadap usaha gigih pelajar itu yang telah merealisasikan projek penulisan jurnal.

image is not available
Foto: Facebook Fadhlina Sidek