
LKUALA LUMPUR - Dua remaja lelaki yang merupakan suspek utama kes pembunuhan Nurfisya Zulkifly dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pagi tadi, untuk lanjutan tempoh reman.
Lanjutan reman tersebut telah dibenarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid, sekali gus membolehkan pihak polis meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sehingga Khamis depan.
Kedua-dua suspek yang berusia 19 tahun itu terdahulu telah dikenakan perintah reman selama seminggu yang tamat hari ini.
Mereka tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi dengan diiringi anggota polis.
Getaran difahamkan, seorang daripada mereka merupakan pelajar kolej dari Kuala Krai.
Nurfisya ditemui maut Jumaat lalu di Kampung Simah, Ketereh, dengan kesan 61 tikaman pada pelbagai bahagian tubuh, dalam kejadian yang menggemparkan seluruh negara.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini memaklumkan, mangsa ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Identiti Nurfisya kemudian dikenal pasti melalui proses pengesahan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di tempat beliau ditemui.
Setakat ini, empat individu telah direman bagi membantu siasatan, termasuk dua warga emas yang merupakan ibu bapa kepada salah seorang suspek.
Kedua-dua warga emas tersebut bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Pembnunuhan Nurfisya mencetuskan kebimbangan ramai terhadap keselamatan golongan gadis, apatah lagi suspek utama masih muda dan memiliki masa depan yang cerah. - Getaran, 8 Mei 2026





