
KOTA BELUD: Kira-kira 20,000 penduduk berpakaian baju hitam membanjiri padang di pekan Kota Belud, di sini untuk tampil bersolidariti menuntut keadilan terhadap kematian Allahyarhamah Zara Qairina Matahir, Khamis malam.
Himpunan yang dijadualkan bermula jam 7 malam hingga 9.30 malam itu bertujuan memberikan sokongan dengan laungan ‘Justice For Zara’ sambil membawa sepanduk dan kain rentang.
Tinjauan mendapati pihak polis turut berada di lokasi untuk kawalan keamanan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Perhimpunan itu turut dihadiri penduduk dari Kota Marudu dan Kudat itu, malah terus bertambah sepanjang acara dan melibatkan pelbagai peringkat umur.
Pengerusi penganjur, Nurul Fadzilah Noordin berkata, himpunan itu menyaksikan perpaduan dan sokongan luar biasa apabila penduduk yang terdiri pelbagai agama, kaum dari pelbagai daerah datang memberi sokongan.
“Kehadiran himpunan solidariti ini merentasi sempadan politik dan sosial yang membawa kepada isu kemanusiaan.
“Kita berdiri bersama-sama menuntut keadilan untuk Zara Qairina,” katanya ketika berucap di hadapan hadirin.
Selain papan putih, sebuah kereta Perodua Myvi turut digunakan untuk mengumpul tandatangan berserta slogan ‘Justice4Zara’ yang ditulis peserta himpunan.
Minuman botol mineral turut disediakan secara percuma kepada orang ramai yang hadir.
Zara Qairina, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Kubur Zara Qairina sebelum ini digali semula dan jenazahnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I bagi proses bedah siasat serta membantu siasatan polis.
