20 daripada 50 projek pusat data diluluskan di Johor, utiliti masih jadi cabaran utama - MIDF Research

25/04/2025 - 11:07
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 25 April - Kira-kira 50 projek pusat data sedang dirancang di Johor dengan 20 daripadanya telah mendapat kelulusan, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, setiap projek dijangka mengambil masa 12 hingga 18 bulan untuk disiapkan.
"Bagaimanapun, tempoh masa pembinaan mungkin dilanjutkan sekiranya memerlukan reka bentuk semula.
"Ia kerana projek pusat data kini mesti mematuhi dasar baharu yang mewajibkan pembeli membuktikan mereka mempunyai akses kepada bekalan air dan elektrik sebelum mendapatkan kelulusan tanah," katanya dalam satu nota kajian.
MIDF Research baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan pegawai dari Bahagian Perancangan Ekonomi Johor dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar.
Menurut firma penyelidikan tersebut, kekurangan bekalan air dan elektrik masih jadi cabaran dan pilihan seperti menulenkan air laut dan penggunaan air terpakai sedang dikaji.
Katanya, prospek perkembangan pusat data di Malaysia dilihat positif kerana ia terus merangsang pertumbuhan sektor pembinaan.
Tambahnya, syarikat pembinaan utama seperti Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd dan Sunway Construction Group Bhd sedang memanfaatkan trend positif pusat data di Malaysia.
MIDF Research dalam pada itu berkata, sektor hartanah Johor terus disokong oleh faktor-faktor utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Rapid Johor Baru-Singapura.
Tambahnya, masalah lebihan hartanah di Johor semakin pulih, apabila bilangannya menurun kepada 2,964 unit pada suku keempat 2024.
Bagi JS-SEZ, MIDF Research berkata, cabaran utama adalah mengekalkan pekerja kerana gaji di Singapura sekitar 3.5 kali lebih tinggi berbanding Malaysia.
"Tumpuan kini adalah untuk mencipta lebih banyak peluang bagi mengekalkan atau menarik bakat, termasuk usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan melalui Majlis Pembangunan Bakat Negeri Johor," katanya dalam nota berkenaan.
Semasa lawatan ke Johor, MIDF Research juga bertemu dengan beberapa pemain utama dalam sektor komoditi, antaranya Johor Plantations Group Bhd (JPG), yang mengendalikan hampir 60,000 hektar ladang kelapa sawit.
Katanya, JPG dijangka mencatatkan pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar sekitar satu digit pada tahun kewangan 2025 (FY25), dengan pengeluaran dianggarkan antara 900,000 hingga satu juta tan.
Dengan harga minyak sawit mentah tempatan mencecah RM4,740 setan pada Mac 2024, naik 12.4% berbanding tahun lepas, MIDF menjangka pendapatan JPG akan kekal positif sepanjang tahun kewangan 2025.
Bagi pengeluar gula MSM Malaysia Holdings Bhd, MIDF Research berkata, permintaan untuk gula dalam sektor borong dan industri dijangka terus berkembang seiring dengan pertumbuhan populasi tempatan sebanyak 2% hingga 3% setahun.
"Syarikat juga merancang untuk menaikkan eksport sebanyak 30% berbanding tahun sebelumnya, dengan sasaran 360,000 tan terutamanya ke pasaran Indonesia, Vietnam, China dan Asia Pasifik," katanya.
MIDF Research menambah, untuk China, MSM menyasarkan peningkatan jualan produk cecair yang menawarkan margin keuntungan 30% lebih tinggi berbanding produk lain, walaupun kini menyumbang kurang daripada 10% daripada jumlah pendapatan.
MIDF Research turut menyebut tentang Guan Chong Bhd (GCB) dan kesan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) terhadap keuntungan daripada jualan ke pasaran negara berkenaan.
"Ini memberi kesan langsung kepada GCB kerana dua kilangnya di Malaysia dan Côte d'Ivoire, Afrika Barat, adalah pembekal utama ke pasaran AS," jelasnya. - DagangNews.com
standard

