TUMPAT – Gurauan seorang suami untuk menunaikan haji terlebih dahulu kini menjadi kenangan pilu apabila isterinya meninggal dunia akibat kecederaan melecur dalam kebakaran rumah di Kampung Simpangan di sini pada Rabu lalu.
Peniaga, Mazelan Daud, 64, berkata, dia tidak menyangka kata-kata selorohnya itu menjadi detik terakhir bersama isterinya, Allahyarham Sha’adah Muhammad, 57, yang sebenarnya sudah membuat persiapan lengkap untuk menunaikan ibadah umrah pada 26 April ini.
Menurutnya, mereka sebelum ini pernah menunaikan umrah dan merancang untuk kembali ke Tanah Suci bersama bagi menunaikan haji sebelum terpaksa menangguhkan hasrat itu tahun lalu kerana masalah kesihatan arwah.
**media[3480492]**
“Saya pernah bergurau dengan dia, saya pergi dululah haji tapi tak sangka jadi macam ni.
“Dia memang nak sangat pergi, minta saya tunggu dia dan semua barangnya pun dah siap kemas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semasa kunjungan serta penyampaian zakat oleh Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan, Aiman Yusri Mohd Yusof pada Jumaat.
Sha’adah sebelum ini dilaporkan melecur hampir 80 peratus di badan dan muka sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.15 petang, Khamis ketika menerima rawatan di di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung, Pengkalan Kubor di sini kira-kira jam 11 malam hari sama.
**media[3480491]**
Mazelan berkata, hasrat ke Makkah untuk dirinya sendiri itu juga dijangka akan ditangguhkan terlebih dahulu kerana keadaan kesihatan termasuk kaki yang membengkak akibat terjatuh ketika memunggah air semasa cuba memadam api dalam kebakaran tersebut.
Dalam kejadian itu, anak perempuan mereka, Nur Fariesya Syaila Mazelan, 15, yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga turut mengalami kecederaan melecur di bahagian muka.
“Anak bongsu kami sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital sama.
“Dia sempat mengiringi pemergiaan ibunya,” katanya.
Menceritakan semula kejadian itu, Mazelan berkata, kebakaran bermula di bilik sembahyang rumah mereka sebelum api merebak dengan cepat hingga ke bahagian kedai runcit yang diusahakan.
“Isteri saya dan anak kami cuba memadamkan api sebelum api itu menyambar mereka hingga rebah.
“Saya masa tu tengah angkut air nak padam api tiba-tiba terjatuh kerana lantai licin dan kayu yang berbara jatuh tertimpa serta kena bahagian telinga,” katanya.
Mazelan kemudian sempat menarik Sha’adah keluar dan menyelamatkan diri bersama anak mereka.
Dia berkata, kehilangan isterinya bukan sahaja memberi kesan emosi mendalam malah meruntuhkan impian mereka untuk ke Tanah Suci bersama.




