
MELAKA – Membina kehidupan selama 20 tahun dan melalui pengalaman sukar mendapatkan makanan di luar negara membuatkan Zulhazry Mohd. Yusoff, 49, sangat menghargai kemudahan yang dinikmati di Malaysia.
Dia yang kini bekerja sebagai pengurus sumber manusia di sebuah syarikat swasta di Iraq menyifatkan, kemudahan mendapatkan makanan dan keperluan harian pada waktu malam selain hidup dalam suasana harmoni dengan masyarakat berbilang kaum antara keindahan yang sukar ditandingi.
Bercerita pengalaman ketika tinggal di Grindelwald, Switzerland, bapa tiga anak itu memberitahu, dia terpaksa memandu lebih satu jam untuk mencari sekotak susu berikutan kebanyakan premis perniagaan di negara itu, Jerman dan Austria tidak beroperasi pada hari Ahad.
“Ketika itu saya terpaksa memandu selama lebih sejam kerana semua kedai tutup.
“Pengalaman itu membuatkan saya lebih menghargai kemudahan yang ada di Malaysia, termasuk akses mudah untuk mendapatkan keperluan harian dan makanan pada bila-bila masa,” katanya sempena Hari Malaysia.
Menurutnya, pengalaman menetap dan bekerja di luar negara lebih dua dekad membuatkannya lebih menghargai keunikan Malaysia, khususnya kepelbagaian budaya, agama dan bangsa.
“Bagi saya, perkara paling istimewa tentang Malaysia ialah kita boleh melihat pelbagai budaya, agama dan tradisi dalam kehidupan seharian, namun masih boleh hidup harmoni sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.
Dia berkata, perkara paling dirindui ketika berada di negara orang ialah kemudahan mendapatkan makanan selepas pukul 8 malam, sedangkan di sesetengah negara pilihan itu sangat terhad.
“Selagi mana saya masih memegang kerakyatan Malaysia, saya memiliki pasport merah yang antara paling berkuasa di dunia yang membolehkan saya mengakses hampir 180 negara tanpa visa, visa semasa ketibaan atau e-Visa.
“Bagi saya, ‘Malaysia di Hatiku’ bermakna rasa bangga dan syukur menjadi rakyat Malaysia walaupun sudah 20 tahun bekerja di luar negara,” katanya.
Bagi Muhammad Zakir Abdul Rahman, 44, pengalaman 18 tahun bekerja sebagai Engineer Surveyor di luar negara membuatkannya lebih menghargai keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Katanya, walaupun pernah berkunjung ke negara maju mahupun negara membangun, suasana kehidupan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia tetap sukar ditandingi.
“Kita tidak berasa takut untuk mengamalkan budaya dan tuntutan agama berbanding di luar negara walaupun di negara serumpun. Kepelbagaian warisan budaya dan makanan tempatan menjadi perkara yang paling dirindui di luar negara,” ujarnya.
The post 20 tahun di bumi asing, Malaysia tetap dihati appeared first on Kosmo Online.



