200,000 pekerja Bangladesh bakal masuk Malaysia?

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 7:22 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 200,000 pekerja Bangladesh bakal masuk Malaysia?

PETALING JAYA: Kira-kira 200,000 pekerja dari Bangladesh dijangka diambil negara ini dalam tempoh enam bulan akan datang membabitkan pelbagai sektor dan agensi.

Menurut laporan portal berita dari Bangladesh, The Daily Star yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi Bangladesh, Mir Shahe Alam, pengambilan secara berperingkat itu akan bermula hujung bulan ini.

“Mereka (Malaysia) akan mengambil kira-kira 200,000 pekerja. Daripada jumlah itu, 10,000 pekerja akan diambil tanpa dikenakan sebarang kos. Terdapat kira-kira 800,000 pekerja Bangladesh berdaftar di Malaysia. Ada yang tidak berdaftar. Menteri kami telah meminta pihak berkuasa Malaysia mendaftarkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan di antara Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Shuhada Othman dengan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi, Abdul Moyeen Khan di Dhaka, kelmarin.

Jun lalu, Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman yang melawat Malaysia me­minta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan pembukaan semula pasaran buruh kepada pekerja Bangladesh.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, rakyat Malaysia perlu diberi keutamaan untuk mengisi peluang pekerjaan yang tersedia di negara ini sebelum dibuka kepada pekerja asing.

Ia selaras dengan matlamat utama Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan pe­luang pekerjaan diberikan dahulu kepada rakyat tempatan.

Anwar sebelum ini juga mengarahkan isu permohonan penggajian pekerja asing mengikut keutamaan khususnya bagi sektor restoran diselesaikan kementerian serta jabatan berkaitan dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, kerajaan memahami keperluan mendesak pengusaha restoran di negara ini untuk mengisi kekoso­ngan tenaga kerja namun pada masa sama perlu memastikan pengambilan pekerja asing dilakukan secara terkawal.

Dasar kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menetapkan penggajian pekerja asing tidak boleh melebihi 15 peratus daripada guna tenaga negara manakala di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) jumlah itu disasarkan menurun kepada 10 peratus menjelang 2030.-UTUSAN.

The post 200,000 pekerja Bangladesh bakal masuk Malaysia? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved