
Pejam celik kita kini hampir memasuki tahun ke 20 telefon pintar mula dipasarkan. Peranti yang dahulunya dibeli untuk digunakan melakukan panggilan telefon, menghantar teks pendek dan menjadi pemain MP3 kini sudah berubah menjadi komputer berkuasa tinggi yang memberikan maklumat daripada internet dengan pantas serta sebuah konsol permainan video mudah alih.
Ini juga bermakna sudah hampir 20 tahun “perang spesifikasi” dilakukan antara pengeluar bagi memberikan peranti mereka kelainan berbanding yang dikeluarkan oleh pesaing. Kamera makin besar, pemproses makin berkuasa, bateri semakin pantas dan pada waktu yang sama harga semakin meningkat. Ini sudah pastinya berlaku disebabkan kekurangan cip mengakibatkan harga RAM dan storan meningkat mendadak.

Maka diramalkan tahun ini buat pertama kalinya dalam satu generasi, kita akan melihat tiada lagi perang spesifikasi kerana tahun ini keunikan peranti tidak terletak pada spesifikasi di atas kertas tetapi lebih kepada perisian dan nilai tambahan yang selama ini bukanlah prioriti oleh pengeluar.
Ini ialah scenario yang menyegarkan kerana akhirnya penggunaan semula komponen atau rekaan lama tidak lagi mempunyai konotasi buruk. Ia dilakukan demi memastikan harga peranti 2026 tidak meningkat terlalu drastik sehingga membuatkan orang ramai memberontak.
KENAPA PERISIAN LEBIH PENTING
Pertama sekali kita perlu menyedari perang spesifikasi tidak lagi begitu ketara ataupun relevan sejak 5 tahun kebelakangan ini. Tiada lagi pengeluar berlumba-lumba menawarkan peranti dengan skrin, kamera dan RAM terbesar. Seakan ada gentlemen’s agreement bahawa 6.9″ 120HZ OLED adalah mencukupi, 12GB RAM adalah lebih memadai dan sensor 200MP adalah kemuncak saiz yang logik digunakan pada telefon pintar.

Perbezaan sebenar antara peranti kini ialah perisian serta ekosistem. Perisian perlu dioptimasikan kerana peningkatan pada pemproses hanya meningkatkan haba dan menyebabkan hayat bateri terjejas. Sokongan perisian jangka panjang pula menjadi taruhan seperti yang dilakukan oleh Samsung.
Sejak 2024, sokongan kemas kini 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti sudah menjadi standard pada siri Galaxy S, Galaxy Z dan Galaxy Tab S. Pada siri Galaxy A pula, sokongannya tidak kurang hebat iaitu 6+6 tahun yang tidak diberikan pada peranti kelas pertengahan Android lain.
Dengan harga cip RAM dan storan dijangka hanya akan stabil selepas 2028, pemilik Galaxy S24 misalnya tidak perlu risau peranti disokong Samsung sehingga 2031. Kekuatan Samsung ialah bukan sahaja sokongan kemas kini jangka panjang yang baik tetapi mereka juga lebih pantas daripada Google dalam memberikan tampalan sekuriti.
Dalam dunia dimana pengesahan identiti digital dan perbankan semuanya boleh dilakukan menggunakan telefon, tampalan sekuriti yang kerap dan pantas sudah boleh dikategorikan sebagai perlu lebih-lebih lagi dengan peningkatan kes penipuan atas talian.
AUTO BLOCK ANTI SCAMMER

Samsung tidak mengiklankan ciri ini secara meluas, tetapi ciri menghalang pemasangan APK secara sisi di luar Play Store dan Galaxy Store secara sisi mungkin telah berjaya menyelamatkan ribuan pengguna Galaxy daripada menjadi mangsa aplikasi hasad. Ciri Auto Blocker diperkenalkan menerusi Galaxy Z Fold6 dan Flip6 diaktifkan secara default.
Semua pemasangan aplikasi secara sisi seperti yang dimuat turun menggunakan WhatsApp oleh golongan scammer akan dihalang. Hanya pengguna Samsung yang benar-benar pakar boleh mematikan Auto Blocker. Sasaran golongan scammer ialah mereka yang tidak begitu celik teknologi can Auto Blocker memastikan mereka dilindungi tanpa disedari. Ciri Auto Blocker kini tersedia pada semua peranti Samsung yang menggunakan sekurang-kurangnya One UI 6.1.1.
AI BUKAN SEKADAR GIMIK
Kita sudah memasuki tahun 3 Selepas ChatGPT (SC) dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bukan lagi gimik atau sekadar percubaan tetapi mula mengubah landskap pekerjaan. Penggunaan AI dalam aliran kerja sudah menjadi kelaziman dandan dalam situasi tertentu adalah perlu bagi meningkatkan produktiviti.
Dalam pasaran yang kini dipenuhi pelbagai model AI, peranti yang menawarkannya secara terbina, diintegrasikan dengan menyeluruh dan berfungsi di belakang tanpa disedari akan mempunyai kelebihan. Tahun lalu Samsung memperkenalkan Now Brief yang memberikan rangkuman maklumat penting dalam hab setempat.

Tahun ini kedengaran ura-ura ciri ejen AI pula akan diperkenalkan. Ini sebenarnya tidak mengejutkan selepas Google Personal Intelligence diumumkan bulan lalu. Personal Intelligence mengumpul maklumat daripada emel, sejarah carian, gambar yang dimuat naik ke Photos, tontonan YouTube dan sejarah aktiviti di dalam Gemini untuk menjadi pembantu maya yang benar-benar pintar.
Sebagai contoh, anda boleh meminta ia mencadangkan tempat bercuti, dan ia akan mengambil kira perjalanan dan percutian anda sebelumnya, sekaligus memberikan cadangan baharu. Apabila soalan mengenai saiz tayar kereta yang perlu dibeli, ia menggunakan maklumat gambar untuk mengetahui jenis kenderaan peribadi sebelum memberikan saranan yang paling tepat.
Pembantu maya peribadi yang selama ini agak pasif akan akhirnya memasuki era yang lebih responsif dan bijak seperti Jarvis milik Tony Stark. Fantasi semakin hampir menjadi realiti.



