203 penumpang kapal mewah terkandas di Kemboja 

30 Oct 2026 • 1:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 203 penumpang kapal mewah terkandas di Kemboja 

PHNOM PENH: Sebuah kapal persiaran mewah yang memulakan pelayaran mengelilingi dunia selama beberapa tahun terpaksa menghentikan operasi berikutan kenaikan harga bahan api, menyebabkan penumpangnya terkandas di Kemboja.

Kapal MV Odyssey itu membawa 203 penumpang, kebanyakannya warga Amerika Syarikat (AS) bersama 156 anak kapal, menurut pegawai Kemboja kepada Associated Press (AP). Kapal berkenaan mempunyai kapasiti untuk menampung 650 penumpang.

Pengendali kapal persiaran itu, Villa Vie Residences yang berpangkalan di Florida berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan penumpang untuk mengatur penginapan sementara.

MV Odyssey memulakan pelayarannya dari Belfast pada Oktober 2024 bagi perjalanan yang disifatkan sebagai ‘pelayaran berterusan mengelilingi dunia’.

Ketika itu, penumpang boleh menjadi penghuni tetap kapal berkenaan dengan membeli kabin persendirian bernilai ratusan ribu dolar. 

Ada antara mereka yang menjual rumah masing-masing untuk berbuat demikian. Mereka dijanjikan jaminan minimum selama 15 tahun untuk menetap di atas kapal Odyssey. 

Kapal berkenaan kini berlabuh di pelabuhan Sihanoukville, Kemboja, di Teluk Thailand, namun tarikh pelayarannya disambung semula masih belum dipastikan.

Pengendali kapal itu berkata, kos bahan api bulanan bagi setiap kabin di beberapa kawasan Asia meningkat sehingga AS$8,000 (RM32,517), berbanding AS$1,800 (RM7,316) sebelum ini namun syarikat itu tidak mahu memindahkan beban kenaikan kos berkenaan kepada penumpangnya. 

Sementara itu, seorang lagi penumpang, Carol Larson, 69, yang tinggal di kapal itu selama 18 bulan bersama kakaknya, Crystal Lavering, 72, masih berharap pelayaran berkenaan dapat diselamatkan kerana kehidupan di laut membantu meningkatkan tahap kesihatannya.

Larson menyalahkan Presiden AS, Donald Trump atas masalah yang dihadapi kapal berkenaan dan penangguhan pelayaran itu susulan peningkatan ketara kos bahan api akibat perang terhadap Iran, dan tidak menyesal membuat pelaburan tersebut.

Kapal itu dilaporkan kehabisan dana ketika mencari rakan kongsi kewangan dan kini merancang untuk memfailkan permohonan kebankrapan. 

The post 203 penumpang kapal mewah terkandas di Kemboja  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved