
KANGAR: Penyanyi dan pemuzik dari Amerika Syarikat (AS) Brian Hyppolite merupakan salah seorang daripada 251 penumpang feri dari Pulau Langkawi yang terkandas lebih tiga jam di perairan Kuala Perlis dipercayai akibat tersangkut pukat nelayan di alur pelayaran di sini hari ini.
Biar pun berdepan detik cemas, Brian turut memuji tindakan pantas pelbagai pihak yang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa-mangsa terlibat.
Katanya, pelbagai pihak di dalam feri turut bekerjasama antara satu sama lain dengan mengagihkan makanan dan jaket keselamatan buat penumpang.
“Terima kasih kepada mereka yang membantu kami ketika terkandas di dalam feri,” katanya ketika ditemui selepas dibawa ke Terminal Feri Kuala Perlis, hari ini.
Brian merupakan seorang penyanyi, pemuzik dan penulis lagu dari AS yang giat menghasilkan pelbagai karya dalam genre hip hop dan rap.
Selain itu, dia turut menghasilkan lagu-lagu berkaitan motivasi, kesedaran diri dan pembangunan peribadi.
Terdahulu, Pengurus Operasi Konsortium Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid dilaporkan berkata, feri tersebut berlayar dari Langkawi pada pukul 9.30 pagi dan sepatutnya tiba di Terminal Feri Kuala Perlis pada pukul 10.30 pagi.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Rosli Sani, 52, berkata, semasa terkandas, keadaan dalam feri berkenaan sedikit panas berikutan enjin perlu dimatikan seketika.
Ujarnya, mereka juga terkandas sekitar tiga jam sebelum pasukan keselamatan dan bot nelayan membantu membawa keluar penumpang terlibat.
“Kami bertolak dari Pulau Langkawi sekitar pukul 9 pagi dan terkandas di sana lebih kurang pukul 10 lebih, lebih kurang tiga jam juga kami terkandas,” katanya. –UTUSAN
The post Penyanyi AS antara mangsa feri terkandas appeared first on Utusan Malaysia.



