SHAH ALAM - Sebanyak 205 rekod diraikan dalam satu malam menerusi penganjuran malam gala Gather of Achievers kali ke-10 oleh ASEAN Records dan Asia Records, yang turut mempersembahkan 62 rekod baharu serta meraikan 83 pemegang rekod sedia ada.
Antara pencapaian yang dipersembahkan secara langsung pada malam berkenaan ialah robot humanoid G1 keluaran syarikat China, Unitree, yang mencipta rekod Asia Records bagi jumlah tumbukan terbanyak dalam dua pusingan latihan tumbukan dengan catatan 90 tumbukan secara autonomi.
Satu lagi pencapaian diraih penghibur pertukaran wajah, Liew Mun Fung yang mencipta rekod ASEAN Records dan Asia Records bagi pertukaran pelbagai wajah terpantas secara segerak diselang-selikan dengan persembahan silap mata dengan melengkapkan aksi itu dalam tempoh 107 saat.
Kedua-dua pencapaian itu disahkan di lokasi dengan Pengarah Urusan FEBA Fight Club, Cruise Tan, bertindak sebagai pengadil luar bagi percubaan robot berkenaan.
**media[3685369]**
Pengasas, Pengarah dan Ketua Adjudikator ASEAN Records dan Asia Records, Gillian Ooi berkata, setiap rekod yang diiktiraf perlu memenuhi piawaian pembuktian yang ditetapkan bagi memastikan kesahihan setiap pencapaian.
“Rekod bukan sesuatu yang boleh dibeli. Ia sesuatu yang perlu dibuktikan. Semua tetamu di dalam dewan menyaksikan sendiri dua rekod diukur di hadapan mereka.
“Setiap rekod lain yang disampaikan pada malam itu turut melalui piawaian bukti yang sama sebelum sampai ke pentas,” katanya.
Majlis yang berlangsung di Hyatt Regency Kuala Lumpur pada Isnin itu menghimpunkan lebih 400 tetamu termasuk Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, hadir sebagai tetamu kehormat bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid; Pengerusi Yayasan Generasi Malaysia, Tan Sri Profesor Dr Abdul Latiff Abu Bakar; Pengerusi Lembaga Penasihat ASEAN Records, Tan Sri Danny Ooi; Duta Laos ke Malaysia, Thepthavone Sengmany; dan Duta Tajikistan ke Malaysia, Ardasher Qodiri.
Antara pihak yang menerima pengiktirafan pada malam itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Zoo Negara Malaysia dan Perbadanan Kota Buku.
Dalam perkembangan berkaitan, ASEAN Records dan Asia Records mengumumkan bahawa kedua-dua organisasi itu memperoleh pensijilan ISO 9001:2015 bagi Sistem Pengurusan Kualiti daripada SGS, yang sah sehingga 30 September 2029.
Malam gala itu turut memberi penghormatan kepada Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali, yang menurut penganjur merupakan pemegang rekod ASEAN Records dan berkongsi satu gelaran rekod Asia Records bersama suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

![[VIDEO] DUN Melaka bubar esok – Ab. Rauf](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/a9ef9271-27c6-4d20-b68e-1d56b1e9a199-1024x768.jpeg)