
21 Tahun Tanpa Isteri, Lelaki Ni Jaga Adik Ipar Seperti Anak Sendiri
Umum ketahui, abang ipar merupakan suami kepada kakak atau adik, yang biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga besar.
Mereka mungkin rapat dengan adik-beradik pasangan, namun tidak semua sanggup atau mampu memikul tanggungjawab yang lebih besar.
Memelihara, membimbing dan memastikan kebajikan adik-adik ipar terjaga memerlukan kesabaran, komitmen, pengorbanan masa dan tenaga yang tinggi.
Baca juga:
Bermula Dari Hobi, Taman Mini Lelaki Ini Kini Jadi “Port” Burung Singgah
Sedekah Ramadan, Mak Cik Raih Pujian Kongsi Juadah Berbuka Dengan Orang Tak Dikenali
Lelaki jaga adik ipar seperti anak sendiri
Baru-baru ini, tular sebuah video di media sosial memaparkan pengorbanan seorang lelaki yang membesarkan adik-adik iparnya seperti anak sendiri selepas mereka kehilangan ibu bapa sejak kecil.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @zanataat di TikTok, dia menceritakan bagaimana abang iparnya menjadi tempat mereka bergantung selama bertahun-tahun.
Menurutnya, walaupun lelaki itu hanyalah abang ipar, namun segala tanggungjawab keluarga dipikul olehnya seperti seorang ayah.

“Dia yang keluarkan duit tiap bulan, dia yang uruskan persekolahan adik-adik, dia juga yang urus makan pakai dan jadi tempat kami mengadu,” kongsinya.
Pada masa yang sama, dia juga membesarkan empat orang anak kandungnya walaupun gajinya sebagai kerani ketika itu hanya RM400 sebulan.
Tambahnya lagi, walaupun tegas dalam memastikan masa depan mereka terjaga, lelaki tersebut sentiasa menyayangi mereka seperti anak sendiri.
Difahamkan, kehidupan mereka berubah selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa ketika masih kecil.

Abang ipar menjadi tempat bergantung
Menurut wanita tersebut, bapa mereka meninggal dunia pada tahun 1993, diikuti ibu pada tahun 1994.
“Sejak itu, abang ipar menjadi tempat kami bergantung,” katanya.
Maklumnya, abang iparnya berkahwin dengan kakaknya pada tahun 1990 sebelum kakaknya meninggal dunia sekitar 21 tahun lalu.

Biarpun isterinya sudah lama tiada, lelaki itu tetap terus bersama mereka dan tidak pernah meninggalkan keluarga tersebut.
“Walaupun kakak sudah lama meninggal dunia, abang ipar masih bersama kami sampai hari ini,” ujarnya.
Lelaki tersebut tetap berusaha membesarkan empat orang anak kandungnya serta empat orang adik ipar perempuan selepas kehilangan isterinya.
Sepanjang membesarkan mereka, @zanataat menjelaskan bahawa lelaki tersebut tidak pernah menunjukkan rasa penat atau meninggikan suara.
Malah, dia juga tidak pernah mengungkit segala pengorbanan yang telah dilakukan.

Video tersebut mencecah 446 ribu tontonan setakat ini
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok memberi pelbagai reaksi.
Kebanyakannya terharu dan tersentuh dengan kebaikan lelaki tersebut.
"Terlalu besar tanggungjawab yang dia galas sampai dia terlihat tua sbgai sosok ayah, semoga abang ipar awak bahagia dunia dan akhirat," komen seorang warga maya.
"Allahu jarang dengar kisah macam ni, abang sendiri belum tentu boleh jaga semua adik. Bertuah nya kalian," komen seorang lagi warga maya.

