
Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi bakal menyampaikan keputusan pada 22 Januari 2027 berhubung permohonan kebenaran untuk meneruskan semakan kehakiman yang difailkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Chin Tek Ming bagi mencabar keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah menolak usul persendiriannya mengenai hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan.
Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Pada 2 Ogos tahun ini Chin memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak selain menyerahkan sendiri permohonan itu kepada Speaker Dun Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya.
Dalam kenyataannya sebelum ini Chin berkata tindakan undang-undang itu bukan cabaran peribadi terhadap Speaker mahupun cubaan untuk melemahkan institusi Speaker atau campur tangan dalam perjalanan persidangan Dun.
Sebaliknya beliau berkata mahkamah diminta menentukan samaada keputusan menolak usul berkenaan dibuat mengikut undang-undang, Peraturan-Peraturan Tetap Dun serta prinsip keadilan asasi.
Chin menegaskan bahawa beliau tidak meminta mahkamah menentukan hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan atau mengarahkan Speaker menerima usul persendiriannya.
Menurutnya mahkamah hanya diminta menentukan sama ada keputusan itu dibuat secara sah, adil, rasional dan selaras dengan undang-undang.
Beliau turut memohon pendedahan jumlah keseluruhan hasil Persekutuan yang dikutip dari Sabah antara 2022 hingga 2025 termasuk asas pengiraan yang digunakan bagi menentukan hak negeri itu mengikut Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Chin usul berkenaan ditolak pada 29 April lalu sebelum beliau menulis surat kepada Speaker pada 19 Mei bagi mendapatkan penjelasan mengenai alasan penolakan itu termasuk penggunaan Peraturan Tetap 43(2).
Bagaimanapun beliau berkata masih belum menerima sebarang maklum balas terhadap surat berkenaan.
Dalam laporan terdahulu Chin berkata beliau hanya membawa perkara itu ke mahkamah selepas menggunakan semua saluran munasabah untuk mendapatkan penjelasan.
Beliau turut menegaskan bahawa isu itu bukan sahaja membabitkan haknya sebagai Adun tetapi juga hak semua anggota Dewan untuk memahami bagaimana keputusan yang memberi kesan kepada fungsi perundangan mereka dibuat.
Chin diwakili peguam Jul Hamri manakala Speaker diwakili peguam Shahlan Jufri dan Datuk Rizwandean M Borhan.






