22 juta pemegang MyKad boleh semak kelayakan SARA mulai hari ini - MOF

21/08/2025 - 11:52
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 21 Ogos – Seramai 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia kini boleh menyemak kelayakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui portal rasmi https://sara.gov.my, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Selain semakan, penerima juga boleh merujuk soalan lazim (FAQ), senarai kedai mengikut bandar serta panduan membeli barangan menggunakan bantuan tersebut di portal berkenaan.
Bantuan tunai sebanyak RM100 itu akan dikreditkan terus ke dalam MyKad penerima mulai 31 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan dan boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025.
MOF berkata, tiada pendaftaran diperlukan kerana kelayakan ditentukan secara automatik berdasarkan data MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Justeru, orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang tipu helah atau scammer.
“Penerima juga boleh memilih untuk menggunakan bantuan ini dengan membeli barangan keperluan asas dan menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan seperti NGO atau tempat ibadah.
“Secara kolektif, sesebuah isi rumah berpeluang menerima bantuan SARA yang lebih tinggi. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM400,” kata MOF.
Sebelum ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian tersebut sebagai usaha Kerajaan menyalurkan bantuan tunai kepada seluruh warganegara dewasa, selaras dengan agenda reformasi kewangan awam.
“Penghargaan SARA adalah usaha ikhlas Kerajaan MADANI untuk mengagihkan hasil reformasi kewangan awam kepada rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Bantuan ini boleh dibelanjakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar meliputi lebih 100,000 barangan keperluan asas dalam 14 kategori, termasuk beras, telur, ubat-ubatan, barangan kebersihan, keperluan sekolah dan makanan asas lain.
Dengan pelaksanaan program ini, jumlah keseluruhan peruntukan di bawah STR dan SARA meningkat kepada RM15 bilion pada 2025, iaitu 50% lebih tinggi berbanding RM10 bilion pada 2024. - DagangNews.com
featured standard


