22 usahawan Selangor bakal sertai MIHAS Shanghai, perluas akses pasaran global

LocalBusiness & Finance
31 Aug 2025 • 5:21 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 31 OGOS: Seramai 22 usahawan Selangor bakal menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Shanghai, China pada November depan sebagai usaha memperluas akses pasaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor (HIS) Khushairi Lasar berkata penyertaan tersebut bakal membuka peluang lebih besar dalam memperkukuh kedudukan jenama mereka di peringkat antarabangsa.

image is not available
Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor (HIS) Khushairi Lasar

“Untuk MIHAS Shanghai, 22 usahawan dari Selangor dijangka sertai sekali gus membuka platform lebih luas untuk akses mereka ke pasaran global,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, HIS turut memberi tumpuan kepada penerokaan kerjasama strategik bersama rakan antarabangsa di Uzbekistan, Arab Saudi dan Hunan, China dalam memperkukuh ekosistem halal.

“Penerokaan kerjasama ini merangkumi pelbagai bidang perkongsian termasuk persijilan halal, di mana kita contohnya akan membantu memberi advokasi dan pemahaman mengenai konsep halal badan pensijilan negara terlibat,” katanya.

Penubuhan HIS antara inisiatif menjadikan Selangor sebagai negeri bertaraf global dalam industri halal selain berperanan sebagai agensi peneraju kepada tiga inisiatif Pelan Tindakan Halal Selangor 2020-2030.

Sebelum ini, pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengumumkan MIHAS akan berlangsung di Shanghai dari 5 hingga 10 November depan, sekali gus menjadi pembabitan strategik Malaysia dalam Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE), salah satu pameran perdagangan terbesar Asia.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menekankan kepentingan industri halal yang berpotensi besar seiring dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030).