225 pendatang tanpa izin warga Indonesia diusir

18 Oct 2025 • 2:44 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Seramai 225 pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia diusir keluar dari Sabah ke negara asal mereka melalui Terminal Feri Tawau di sini, pada Khamis, ke Pelabuhan Tunon Taka, Nunukan, Kalimantan Utara (Kaltara).

Pengarah Imigresen Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata urusan pengusiran terbabit dilaksanakan menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal (PPTAKNA) dalam kategori usir melalui laut.

“Mereka yang diusir terdiri daripada 223 lelaki, 27 wanita, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan yang berumur antara sembilan tahun sehingga 72 tahun,” katanya di sini, pada Jumaat.

Sitti Saleha berkata pemindahan PTI itu dijalankan dari Depot Imigresen Tawau ke Nunukan dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan feri Francis Express dan Labuan Express.

Menurutnya, kesemua PTI terlibat melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (c) dan 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.

“Kesemua mereka sudahpun selesai menjalani hukuman penjara dan akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengikut jenis kesalahan yang direkodkan,” katanya.

Sepanjang tahun ini juga seramai 1,751 PTI warga Indonesia sudah selesai diusir keluar dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan kini meliputi seramai 8,328 warga asing yang berjaya dipindahkan ke negara asal.

Pada masa sama, beliau akui pelaksanaan PPTAKNA melibatkan tahanan PTI warga Indonesia juga tertakluk dengan tahap kesegeraan pengeluaran Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) oleh pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI).

“Sehubungan itu kita amat mengharapkan komitmen dan kerjasama daripada KJRI khususnya dalam menjaga kebajikan tahanan warga Indonesia di depot Imigresen di Sabah,” katanya.

Tambahnya, operasi PPTAKNA dijalankan sebagai usaha berterusan JIM Sabah untuk memastikan semua tahanan di depot Imigresen dapat dipindahkan segera dan mengelak masa penahanan yang lebih lama.

Menyentuh hal berkaitan, beliau mengingatkan warga asing di Sabah supaya tidak menyalahgunakan pas dan kemudahan yang disediakan kepada mereka kerana JIM Sabah tidak akan berkompromi jika mengesan perbuatan terbabit.

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji PTI, termasuk mereka yang melakukan pelanggaran syarat pas atau permit di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kita juga menasihatkan majikan dan masyarakat supaya menggunakan saluran mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan jika mahu mengambil warga asing untuk bekerja di negara ini,” katanya.