231 Warga Asing Ditahan Dalam Serbuan Pusat Penipuan Siber Di Sri Lanka

8 May 2026 • 7:25 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: 231 Warga Asing Ditahan Dalam Serbuan Pusat Penipuan Siber Di Sri Lanka

COLOMBO – Polis Sri Lanka menahan 231 warga asing, kebanyakannya rakyat China dan Vietnam dalam beberapa serbuan ke atas pusat penipuan siber di ibu negara, Colombo sejak hujung minggu lalu.

Kumpulan jenayah antarabangsa itu dipercayai menjalankan aktiviti penipuan dalam talian melibatkan pelaburan mata wang kripto dan hubungan romantik palsu yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian berbilion dolar setiap tahun.

Dalam operasi pertama Ahad lalu, pihak berkuasa menyerbu dua pusat penipuan siber dan menahan seramai 157 suspek.

Semalam, seramai 74 lagi individu diberkas dalam serbuan di lokasi ketiga.

Jurucakap polis, Frederick Wootler berkata, kebanyakan suspek memasuki Sri Lanka menggunakan visa pelancong sebelum bekerja secara haram di negara itu.

“Malah ada antara mereka yang tinggal melebihi tempoh visa dibenarkan,” katanya.

Komputer Dan Telefon Dirampas Untuk Analisis

Seorang majistret di Colombo turut mengarahkan pemeriksaan forensik dilakukan terhadap komputer dan telefon bimbit yang dirampas dari pusat penipuan di kawasan Kollupitiya semalam.

Menurut polis, peralatan komunikasi yang dirampas dalam serbuan Ahad lalu juga telah dihantar untuk analisis lanjut.

Memetik laporan AFP, penahanan besar-besaran itu berlaku kira-kira sebulan selepas 152 warga asing, majoritinya rakyat China ditahan kerana didakwa menjalankan operasi penipuan siber dari sebuah hotel di barat laut Sri Lanka.

Pada Mac lalu pula, pihak imigresen Sri Lanka menahan 135 lelaki dan wanita warga China yang dipercayai terlibat dalam kegiatan sama sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal.

Kedutaan China di Colombo sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan kerajaan Sri Lanka bagi membendung penglibatan warga China dalam sindiket penipuan di negara tersebut.

Menurut kedutaan itu, infrastruktur telekomunikasi Sri Lanka, kedudukan geografi strategik serta dasar visa yang agak longgar menjadi antara faktor kumpulan jenayah siber berpindah ke negara Asia Selatan berkenaan.

Pada tahun lalu, pihak berkuasa Sri Lanka turut menahan 230 warga China dan 200 rakyat India yang didakwa mengendalikan pusat jenayah siber di beberapa lokasi di negara itu. – The Malaysian Update

The post 231 Warga Asing Ditahan Dalam Serbuan Pusat Penipuan Siber Di Sri Lanka appeared first on The Malaysian Update.