JIM, KPDN gempur lokasi tumpuan warga asing di Cyberjaya

LocalPolitics
8 May 2026 • 12:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: JIM, KPDN gempur lokasi tumpuan warga asing di Cyberjaya
Antara warga asing yang diperiksa dalam operasi di Menara Paragon, Cyberjaya Rabu lalu. - Foto: JIM
Image from: JIM, KPDN gempur lokasi tumpuan warga asing di Cyberjaya
Kesemua warga asing terbabit ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

CYBERJAYA - Menara Paragon di sini yang dipercayai menjadi tumpuan warga asing diserbu pada Rabu lalu.

Operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) susulan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama seminggu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 9 malam itu memberi tumpuan pemeriksaan terhadap premis menjual makanan, kiosk, pusat jualan serta premis perniagaan di sekitar kawasan berkenaan yang disyaki menggaji dan melindungi warga asing tanpa kebenaran yang sah.

"Sebanyak 16 premis serta 105 warga asing dan 89 warganegara tempatan telah diperiksa dalam operasi ini.

"Hasil pemeriksaan, seramai 13 warga asing yang terdiri daripada warga Sudan, India, Pakistan, Nepal, Myanmar dan Indonesia berumur antara 26 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

**media[3514267]**

Beliau berkata, satu Borang 29 saman kepada saksi telah dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan.

Katanya, kesemua warga asing tersebut ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Jelas Zakaria, JIM terus mempergiat usaha penguatkuasaan dengan memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan yang didominasi warga asing.

"Tindakan ini dilaksanakan sebagai komitmen berterusan JIM dalam membanteras aktiviti yang menyalahi peraturan serta memastikan kedaulatan undang-undang negara terus dipelihara tanpa sebarang kompromi.

"JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," ujarnya.